Nasional

Tok Mat pelopor kerjasama wartawan Malaysia, Indonesia

Pada tahun 2010 Datuk Ahmad Talib atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat meminta saya yang ketika itu bertugas sebagai wakil Utusan Malaysia di Jakarta supaya menggerakkan sebuah pertubuhan bagi mengeratkan hubungan wartawan Malaysia dan Indonesia.

Secara peribadi saya tidak berapa rapat dengan Tok Mat kerana Allahyarham adalah ketua pengarang bagi media milik NSTP dan saya wartawan dari Utusan Malaysia. Kami sering dibatasi benteng persaingan antara wartawan berlainan syarikat dalam mendapat berita hingga terbawa-bawa kepada kehidupan peribadi.

Pada ketika itu Tok Mat bukan lagi ketua pengarang tetapi beliau aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan dan saya difahamkan beliau diarahkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan perdana menteri ketika itu melaksanakan inisiatif merapatkan hubungan wartawan negara berjiran tersebut.

Saya berbincang dengan sekumpulan wartawan Malaysia dan juga wakil TV3 di Indonesia, Didik Budiarto yang lebih mesra dengan panggilan Pak Didik.

Pak Didik walaupun warga negara Indonesia tetapi telah lama bertugas dengan TV3 dan apabila meninggal dunia diganti oleh anaknya Kevin Budiarto.

Selain Pak Didik seorang lagi wartawan dan merupakan mantan bos saya di Bernama juga wakil agensi berita itu di Jakarta, Nasir Yusof turut terlibat dalam perbincangan itu.

Akhirnya nama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia – Indonesia (ISWAMI) telah dipilih. Walaupun kami ketawa kerana bunyinya seperti suami dan bagaimana pula dengan si isteri, tetapi pertubuhan ini bergerak dengan cukup berkesan merapatkan hubungan wartawan kedua-dua buah negara berjiran.

Liputan negatif berkenaan Malaysia oleh media Indonesia telah menyebabkan persepsi negatif dan sedikit sebanyak mengeruhkan hubungan kedua-dua buah negara.

Saya masih ingat lagi dalam pertemuan pertama ketua-ketua media di Indonesia dan Malaysia yang berlangsung di Jakarta, suasananya agak tegang. Pasukan media Malaysia diketuai oleh Tan Sri Johan Jaaffar.

Sebelum pertemuan itu, kami telah mengadakan perbincangan dengan Duta Besar Malaysia di Jakarta dan Tan Sri Muhyiddin Yaasin selaku Timbalan Perdana Menteri yang hadir mewakili negara. Bos Utusan yang hadir ialah Datuk Aziz Ishak.

Kami memutuskan pertemuan pertama kali itu lebih kepada untuk membuka lebih banyak ruang kepada bos-bos media Indonesia meluahkan perasaan mereka berhubung masalah hubungan dua hala kedua-dua buah negara.

Di pihak Malaysia kami lebih banyak mendengar dan memberi sedikit penjelasan. Semua berjalan seperti yang dirancang dan ia sangat melegakan.

Selepas itu pertemuan berikutnya berlangsung dengan lebih harmoni dan lebih bersefahaman.

Persefahaman media kedua-dua buah negara itu secara langsung mewujudkan hubungan yang lebih baik bagi kedua-dua buah negara, walaupun sesekali tercetus ketegangan akibat daripada pertembungan Malaysia-Indonesia di gelanggang bola sepak.

Serangan oleh media negara tetangga itu terhadap Malaysia dapat dikurangkan dan isu-isu yang kadangkala tidak berasas dan tidak terkawal sering memburukkan keadaan juga dapat diredam.

Contohnya isu Ambalat. Hinggakan ada yang menyangkakan Ambalat itu adalah sebuah pulau. Sedangkan ia adalah singkatan yang dibuat oleh media Indonesia bagi merujuk Ambang Batas Laut atau sempadan Malaysia-Indonesia di lautan.

Jadi hubungan kedua-dua buah negara yang lebih harmoni hingga pada masa kini dan sebahagian besarnya adalah sumbangan Tok Mat.

Allahyarham yang berusia 69 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di Kuala Lumpur pada 5.42 petang semalam, selepas bertarung dengan kanser hati. – SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button