Ekonomi

TNB, PLUS bekerjasama sediakan 18 kemudahan pengecas kenderaan elektrik

PEMILIK kenderaan elektrik yang menggunakan rangkaian Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menikmati perjalanan yang lebih selesa apabila 18 kemudahan pengecas TNB Electron disediakan kepada mereka menjelang hujung tahun ini, hasil kolaborasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan PLUS dengan sokongan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Pada ketika ini, kemudahan pengecas TNB Electron disediakan di 3 buah R&R iaitu Ayer Keroh (Arah Utara), Tapah (Arah Utara) di Lebuhraya Utara-Selatan dan Paka (Arah Utara) di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Enam lagi TNB Electron sedang dibangunkan di R&R Machap (Arah Selatan), Rawang (Arah Utara), Gunung Semanggol (Arah Selatan), Gurun (Arah Utara dan Selatan) dan Paka (Arah Selatan) yang dijangka siap pada tahun ini.

Kolaborasi TNB dan PLUS ini adalah sejajar dengan aspirasi Malaysia menuju negara neutral karbon.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, DatUK Ir. Baharin Din, “Penggunaan tenaga elektrik di 9 TNB Electron itu yang dianggarkan sebanyak 99,000 kWh elektrik sepanjang tahun 2023 akan dapat menghindari pelepasan 7.2 tan metrik karbon dioksida dalam tempoh yang sama. Ini adalah bersamaan dengan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 8.5 ekar hutan setahun.”

“Pembangunan industri EV adalah sebahagian daripada komitmen TNB untuk memberi tumpuan terhadap usaha penyelesaian tenaga lestari di peringkat nasional dan antarabangsa.

Agenda Peralihan Tenaga TNB menyasarkan tenaga sifar bersih pada tahun 2050 melalui pengurangan 35% intensiti pelepasan karbon menjelang 2035,” katanya.

TNB, katanya, telah menjadikan pembangunan ekosistem EV sebagai antara empat inisiatif mempercepatkan pacuan Peralihan Tenaganya dalam usaha meningkatkan komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah PLUS dan Pengarah Urusan Kumpulan UEM, Dato’ Mohd Izani Ghani, “PLUS sebagai pengendali infrakstruktur lebuh raya yang utama negara  berganding bahu bersama TNB dan menggunakan kepakaran teknologi sumber tenaga mereka untuk ditawarkan dan dinikmati oleh pengguna lebuh raya kami.”

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button