TNB peruntuk RM3 juta untuk CSR
Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan sejumlah RM3 juta tahun ini bagi pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporatnya.
Ia menerusi program ‘Ceria Ke Sekolah’ yang merupakan tradisi syarikat korporat itu bagi membantu keluarga yang memerlukan untuk mempersiapkan anak-anak mereka ke sekolah.
Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peruntukan itu bakal memberi manfaat kepada lehih 20,000 pelajar di seluruh negara.
“Menerusi program tersebut, TNB akan memberikan sepasang pakaian seragam sekolah, beg, kasut dan alat tulis kepada para pelajar.
“Saya berharap program ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan keluarga yang memerlukan dalam mempersiapkan anak-anak mereka ke sekolah pada tahun baharu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti, Kampung Padang Kerasak dekat Padang Terap hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Ghazali Ibrahim, Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Badrol Hisham Hashim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian, Che Arpah Ariffin.
Tambah Datuk Seri Mahdzir, program tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Kembali Ke Sekolah’ telah memberi manfaat kepada lebih 36 ribu keluarga yang berpendapatan rendah dan memerlukan bantuan itu. Program CSR itu mula dilaksanakan secara tahunan bermula pada 2013.
“Secara keseluruhannya kita telah membelanjakan sejumlah RM7.5 juta sejak program ini dilaksanakan pada 2013.
“Insya Allah pengagihan barang-barang tersebut akan mula dilaksanakan pada minggu kedua bulan ini,” katanya.