Politik

Titah Agong: Semoga PM tidak berdolak-dalik – Mohd. Puad

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diharapkan tidak berdolak-dalik bagi membolehkan Parlimen kembali bersidang walaupun dalam tempoh Perintah Darurat.

Ini kerana titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustaffa Billah Shah, membolehkan Parlimen bersidang atas nasihat Perdana Menteri.

Langkah menyekat Parlimen daripada bersidang adalah bertentangan dengan Proklamasi Darurat yang dibuat pada 11 Januar lalu.

Matlamat asal pengisytiharan darurat adalah bagi menangani krisis kesihatan melibatkan penularan pandemik Koronavirus (Covid-19) yang meragut lebih 1,000 nyawa.

“Justeru diharap Muhyiddin bertindak segera memberikan tarikh untuk diperkenan oleh Agong. Ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa- Kuasa Perlu) 2021.

“Dalam kenyataan media itu, Agong juga menjelaskan adalah tidak tepat tanggapan pihak tertentu kononnya proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang.”

Demikian kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dalam satu kenyataan meminta Muhyiddin tidak melengahkan persidangan Parlimen.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadli Shamsuddin memberitahu, Agong menerima menghadap Speaker Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara.

Menurutnya, baginda menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada satu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.

Al Sultan Abdullah bertitah, perkara itu termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Mohd. Puad dalam kenyataan sama turut menyelar pandangan bekas Setiausaha Agong Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, sebelum ini Annuar menyifatkan individu yang mohon perkenan Agong supaya sidang khas Parlimen diadakan ketika tempoh darurat sebagai menderhaka.

Tambahnya, surat daripada Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, kepada Agong sebelum ini yang memohon pertimbangan baginda supaya Parlimen dibenarkan bersidang adalah tidak silap.

“Semoga Annuar faham perkara ini. Jelas surat Ahmad Maslan tidak silap.

“Dengan sendiri menolak tuduhan Annuar bahawa mohon perkenan Agong untuk sidang khas Parlimen dianggap ‘menderhaka’.

“Bahkan kenyataan media Istana Negara itu menjelaskan, perkenan baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 semata-mata sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 yang meragut lebih 1,000 nyawa.

“Fahamlah rakyat sekarang. Semoga Perdana Menteri tidak berdolak dalik. S

“Semoga YB YB (Ahli Parlimen) bila dah bersidang nanti janganlah bergaduh kenapa Rina Harun makin cantik dan ramping,” sindirnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button