Nasional

Penguatkuasaan undang-undang, penagihan dadah antara kajian akta baharu bawah KDN

RAKYAT Malaysia perlu bersedia untuk menerima perubahan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap pembaharuan akta berkaitan penguatkuasa.

Beberapa kajian dan pembaharuan akan dilakukan oleh KDN terhadap perundangan seperti dasar pengalihan penyalahgunaan dadah dan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020.

Selain itu, RUU Pesara dan Bekas Polis, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Antipsop 2020) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma)

Turut akan kaji juga adalah Akta Hasutan 1948 yang sebelum ini banyak mempengaruhi landskap politik, internet termasuk blog dan media sosial dan akhbar.

Kesemua kajian dan pembaharuan itu adalah di bawah teras pertama di bawah KDN yang ditetapkan sejak awal 2020 iaitu pemerkasaan keselamatan dan ketenteraman awam.


“Di bawah teras satu, pemerkasaan keselamatan dan ketentaraman awam aspek perundangan di bawah bidang kuasa KDN diperkukuhkan lagi dengan beberapa kajian semula dan pindaan ke atas sedia ada.

“Kajian semula ke atas undang-undang sedia ada sangat penting untuk memperkasakan aspek perundangan supaya penguatkuasaan yang lebih efektif dan berkesan dapat dilaksanakan.”

Kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dalam Amanat Menteri Dalam Negeri 2021 hari ini yang disiarkan secara langsung menerusk Facebook KDN.

Dalam ucapannya, beliau memaklumkan tiga teras utama yang menjadi sebahagian daripada  Pelan Strategi KDN Lima Tahun (PSKDN 2021 – 2025).

Teras tersebut adalah, pertama pemerkasaan keselamatan dan ketenteraman awam; kedua pengukuhan keselamatan sempadan, kawasan maritim dan pintu masuk dan ketiga, pemantapan institusi dan sistem perkhidmatan.

Katanya, perlaksanaan ketiga-tiga teras tersebut akan melibatkan keseluruhan jabatan dan agensi di bawah KDN mengikut teras masing-masing.

Teras pertama akan melibatkan jabatan dan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)

Bagi teras kedua pula antara agensi terlibat seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)

Sementara agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara pula akan terlibat dalam teras ketiga yang menjurus kepada pendigitalan perkhidmatan dalam KDN.

Dalam pada itu, Hamzah turut memaklumkan penguatkuasaan di bawah KDN sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB), PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Pemulihan (PKPP) terdapat beberapa tindakan diambil termasuklah ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI).

Penguatkuasaan termasuk dalam Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) adalah bertujuan untuk mengekang penularan pandemik Koroanvirus (Covid-19).

“Sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 6,634 operasi ke atas PATI telah dilaksanakan dan seramai 22,522 orang PATI dan 387 orang majikan telah ditangkap.

“Ini menunjukkan kerajaan tidak sedikit pun berkompromi dalam isu PATI terutamanya dalam usaha membendung penularan Covid-19.

“Sejak PKP dilaksnakan dan diteruskan dengan PKPB, PKPD dan PKPP tadi hampir 100,000 orang anggota keselamatan dan penguatkuasa dari PDRM, JIM, APMM, Rela, Penjara, AADK, Esscom dan Aksem telah digerakkan sepanjang tempoh PKP.

“PDRM dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasa lain telah melaksanakan pertama, lebih kurang 2,300 sekatan jalan raya (SJR) sepanjang waktu kawalan ini.

“Kedua, kawalan di 116 pusat kuarantin dan 17 hospital yang merawat pesakit Covid-19 dan ketiga hampir 39,000 rondaan berjadual di premis atau kawasan sasaran seperti di tapak pembinaan, premis perniagaan dan Home Surveilance Order (HSO).

“Dengan penguatkuasaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan sehingga 31 Disember 2020, sebanyak pertama, 64,651 kompaun telah dikeluarkan.

“Kedua, 30,921 tangkapan telah dibuat ke atas pesalah PKP; ketiga, 3,460 reman dan keempat, 23,012 pendakwaan telah dilaksnakan,” jelasnya. – SM

(Visited 87 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button