Nasional

Tingkatkan azam, komitmen, disiplin dan dedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab

Sempena Sambutan Jubli Emas Ke-50 dan Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan Tahun 2022

MULAI hari ini, jawatan Pengarah Penguat Kuasa akan ditukar kepada Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguan (KPDNHEP).

Jawatan Timbalan Pengarah juga akan ditukarkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata demikian sempena Sambutan Jubli Emas Ke-50 dan Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan Tahun 2022, hari ini.

Beliau berakta, pengiktrafan itu sebenarnya terlalu kecil untuk dibandingkan dengan jasa dan bakti pasukan Penguat Kuasa KPDNHEP.

Alexander turut mengajak seluruh wargakerja KPDNHEP tingkatkan azam, komitmen, disiplin dan dedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab selaku penjawat awam khususnya pegawai-pegawai penguat kuasa kepada rakyat, kerajaan dan negara tercinta.

Pesanan Menteri itu sejajar dengan tema Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Penguat Kuasa tahun iaitu “Komited Mendepani Cabaran”.

Katanya, tema itu juga  amat bertepatan dengan hasrat Kementerian untuk menjadikan fungsi dan perkhidmatan yang akan diberikan oleh penguatkuasaan KPDNHEP terus releven dalam arus perdana demi memastikan inspirasi “kepimpinan atasan negara” serta ”hasrat rakyat” dapat kita realisasikan bersama.

Untuk rekod, Hari Penguat Kuasa disambut pada 17 April setiap tahun dan pada tahun ini genaplah 50 tahun usia Bahagian Penguat Kuasa.

Katanya lagi, sepanjang tahun 2021, pelbagai operasi telah dilaksanakan yang memberi impak berganda kepada pertumbuhan perdagangan domestik dan pelindungan kepada pengguna.

“Antaranya beberapa operasi khas seperti Ops Suri, Ops Ria, Ops Menu, Ops Catut, Ops Rantai dan pelbagai lagi ops yang dilaksanakan berdasarkan isu yang dihadapi.

“Hasil usaha dan kerjasama anggota yang bertugas tanpa mengira waktu, kesemua ops dan sasaran ditetapkan berjaya dicapai,” ujar beliau.

Sebagai rekod, kata Menteri KPDNHEP itu lagi, pada tahun 2021, sebanyak 864,973 premis telah diperiksa di seluruh negara.

Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, katanya, sebanyak 10,586 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan sebanyak RM36.15 juta.

Tambah beliau, bagi tempoh yang sama kompaun yang dikenakan pula adalah sebanyak RM6.24 juta dan jumlah denda adalah sebanyak RM1.66 juta.

Sementara itu KPDNHEP menerima 27,328 aduan dan jelas Alexander, semua aduan tersebut telah disiasat dan penyelesaian aduan adalah 100 peratus.

“Bagi pencapaian tahun 2022 pula, berdasarkan statistik sehingga Jun, sebanyak 489,567 premis telah diperiksa di seluruh negara.

“Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 6,457 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan sebanyak RM25.94 juta, “ katanya.

Bagi tempoh yang sama, kompaun yang dikenakan pula adalah sebanyak RM3.33 juta dan jumlah denda adalah sebanyak RM167,530.00.

“Sebanyak 6,706 aduan telah diterima dan 89.61% aduan berjaya diselesaikan,” kata Alexander. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button