BeritaNasional

Tindakan SPRM wujudkan konflik antara negara

SPRM sewajarnya bertindak dengan menyerahkan segala bukti baharu berkaitan 1MDB kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendedahan apa jua bukti kepada umum seperti yang berlaku adalah ‘unprecedented’ (belum pernah terjadi).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tegas beliau, mesti bertindak secara profesional malangnya apa yang dilakukan tidak menepati standard profesionalisme dikehendaki.

“Pendedahan perbualan ketua negara dengan sorang pemimpin negara asing adalah perkara kerahsiaan yang sangat penting.

“Ia tidak wajar didedahkan dengan sewenang-wenangnya tanpa melalui proses undang-undang,” katanya menerusi kenyataan dalam akaun Facebook beliau.

Menurut Mohamad lagi, pendedahan yang dilakukan SPRM pasti mengundang masalah dengan kerajaan UAE.

“SPRM sewajarnya memahami kepentingan untuk Malaysia tidak berkonflik dengan mana-mana negara dalam usaha kita mencari kebenaran berkaitan skandal IMDB.

“Polis mesti melakukan siasatan terperinci tentang pendedahan bukti baharu ini agar hak, kepentingan dan keadilan dapat dicapai,” katanya.

Kata beliau, pendedahan yang dilakukan tersebut telah mensabitkan nama-nama yang terlibat sebagai bersalah dan menimbulkan prejudis yang sangat mendalam terhadap mereka.

“SPRM adalah institusi awam yang mesti menjalankan tugasnya secara berperlembagaan dan penuh wibawa.

“Apa yang dilakukan hari ini telah menyebabkan profesionalisme, wibawa dan integriti SPRM dipersoalkan,” katanya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya  mendedahkan rakaman telefon membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan isterinya dan pemimpin luar yang menimbulkan banyak persoalan berikutan perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button