Tiket penerbangan sehala KL – KK RM4499.32 tak masuk akal
Seorang Ahli Parlimen dari Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak percaya dengan harga tiket penerbangan sehala Malaysia Airlines Berhad dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.
Melalui Twitternya, Ahli Parlimen Kinabatangan itu menyifatkan tambang sehala berharga RM4499.32 yang ditempahnya itu sebagai tidak masuk akal.
Bung Moktar membuat tempahan pembelian tiket itu secara atas talian hari ini untuk penerbangan esok.
“Saya tahu semua syarikat mengalami kerugian, semasa Covid-19 melanda seluruh dunia, termasuk British Airline nak bankrup , Virgin Air, Australia, Ravneir Air.
“Namun adalah tidak masuk akal jualan tiket MAS KL to KK one way sahaja harga macam tak boleh percaya,” kata Bung Moktar melalui Twitternya.
Pada 3 Julai lalu Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harga tiket penerbangan perlu kembali kepada asal kerana kerajaan telah membenarkan jumlah penumpang berkapasiti penuh.
Ismail Sabri memberitahu, pihaknya mengambil maklum mengenai rungutan orang ramai berhubung harga tiket penerbangan yang tinggi terutama bagi penerbangan domestik antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
“Di peringkat awal itu, kita memahami harga tinggi kerana arahan yang dikeluarkan adalah mereka (syarikat penerbangan) tidak boleh mengambil penumpang dengan kapasiti penuh kerana penjarakkan sosial di dalam pesawat, iaitu 66 peratus sahaja.