Kemalangan

Tiga sekeluarga maut nahas kereta, lori

Tiga beranak, termasuk seorang bayi berusia 12 bulan maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 216 arah utara, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supretendan Arshad Abu berkata, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah pemandu kereta Honda Jazz, Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, 28, isterinya, Zubaidah Abd Rajak, 28, dan anak mereka Muhammad Rizqi Muhammad, 1.

Menurutnya, suami isteri yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital di Johor Bahru ketika kejadian dalam perjalanan dari rumah mereka di Larkin ke Kuala Lumpur untuk bercuti.

Tinggal kenangan Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, Zubaidah Abd Rajak dan Muhammad Rizqi Muhammad meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu sebuah lori jenis Isuzu diletakkan di lorong kanan sewaktu kerja-kerja pembaikan pembahagi jalan sedang dilakukan.

“Hasil siasatan dipercayai kereta Honda Jazz di laluan yang sama arah ke utara terus melanggar belakang lori berkenaan hingga menyebabkan kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kejadian tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Muhamad Ezanee Hamat, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 11.02 pagi sebelum sepasukan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Ayer Keroh dan Tampin dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba anggota bomba mendapati kemalangan membabitkan kereta jenis Honda Jazz dinaiki tiga sekeluarga dan lori jenis Isuzu dipandu seorang lelaki.

“Pasangan suami isteri berusia 28 tahun dan anak lelaki berusia setahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai kesihatan, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” ujarnya.

Beliau berkata, operasi tamat kira-kira pukul 1.09 tengah hari dan kemalangan turut menyebabkan kesesakan jalan raya sejauh kira-kira lima kilometer. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button