Hiburan

Tiga prinsip Nora teruskan kehidupan

Sabar, reda dan syukur

TIGA tahun lalu, selepas kehilangan suami, Johan Nawawi, penyanyi Nora Ariffin mengakui beliau kehilangan tempat bergantung.

Nora seolah-olah hilang punca kerana tidak tahu bagaimanakah cara untuk meneruskan kehidupan.

Pada waktu itu, Nora tidak bersedia untuk kehilangan insan yang amat disayanginya, arwah Johan.

Bahkan Nora mengakui, ketika itu, beliau merayu pada doktor agar menyelamatkan nyawa suaminya dan berkata pada suaminya, “abang. Bangun. Bangun.”

Nora berkata, beliau perlu keluar daripada lingkungan kemurungan selepas ketiadaan suami.

Beliau perlu bekerja mencari rezeki untuk menyara empat orang anak iaitu Iman, Alif, Putri dan Fatehah.

Menyedari beliau sudah hilang dahan untuk berpaut, Nora sedar Allah ada.

Berpegang kepada pesanan arwah Johan yang selama ini, ujar Nora, semasa arwah masih hidup, Nora tidak pernah ambil serius kata-kata Johan.

“Kita hidup ni tak lama. Klimaks pengakhiran kita, apa?Nak pergi ke syurga. Hidup di dunia ini, apalah sangat,” kata arwah Johan kepada Nora semasa hayat arwah dahulu.

Hari ini, 40 hari yang lalu, Nora diduga sekali lagi dengan pulangnya ke rahmatullah anak lelakinya, Alif.

Kematian Alif yang baru berusia 20 tahun, adalah kematian yang mengejutkan kerana pada siang harinya, arwah sempat hantar Nora ke lapangan terbang KLIA.

“Pagi tu saya bertanya kepada Alif. Boleh hantar mama ke airport? Jawabnya, apa pula tak boleh. Boleh mama,” imbas Nora perbualan kali terakhir dengan arwah Alif.

Perkhabaran mendukacitakan diterima Nora sejurus pesawat yang dinaikinya pada pagi itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

Nora diduga lagi dengan berita kematian dan berpegang pada tiga prinsip iaitu sabar, reda dan syukur, wanita tabah ini meneruskan kehidupan hariannya seperti biasa.

Perancangan sebagai Duta Umrah Eco diteruskan mengikut jadual yang telah diatur.

Persembahan atau show yang telah dijadualkan sebelum ini, juga diteruskan kerana kata Nora kepada pengurusnya, Jaja, ini rezeki. Jangan ditolak.

“Umrah on. Show ok. Ini rezeki. Sinar baru saya, saya terlibat secara langsung dalam pengurusan umrah yang akan berlepas ke Tanah Suci pada 18 Mac sehingga 29 Mac nanti.

“Umrah ini, saya tak pernah terfikir langsung akan dapat peluang seperti ini.

“Umpamanya saya boleh pergi umrah, ibaratnya any time,” kata Nora.

Tambah Nora, peluang dapat pergi ke Mekah dan Madinah tidak dilepaskan.

“Trip baru ni sesuatu yang tak dapat dilupakan. Saya nak share segala pengalaman pahit manis suka duka.

“Saya juga tidak mahu melihat wanita yang kematian suami, tidak boleh nak move on. Tidak boleh nak meneruskan kehidupan.

“Kenapa macam tu? Jadi saya ingat pesanan arwah, teruskan kehidupan dengan tiga prinsip.

“Kesimpulan, bersangka baik dengan segala ketentuan Allah. Yang penting di mana kita berakhir.

“Jadi, apabila saya keluar rumah, melangkah keluar, biarlah dengan niat beribadah kerana kerja juga satu ibadah.

“Kalau Allah nak ambil nyawa saya, biarlah dalam keadaan husnul khotimah.

“Segalanya saya serah pada Allah. Allah lebih mengetahui,” kata Nora sambil mengakui, dirinya bukanlah seorang yang warak tetapi sentiasa mengingati Allah.

Sabar, reda dan syukur Alhamdulillah. Insya-Allah.

Begitulah ucapan Nora pada majlis Sinar Baru Nora & Perkongsian sejurus sebelum majlis menandatangani sebagai Duta Umrah Eco. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button