Nasional

Tiga individu direman seminggu kes dera kanak-kanak

TIGA individu termasuk dua wanita direman seminggu bermula semalam kerana disyaki terlibat dalam kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jempol.

Menurut laporan Sinar Harian, perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Pilah, Saiful Sayoti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak – Kanak 2001.

Individu terbabit yang juga ibu saudara dan sepupu mangsa berusia antara 21 dan 42 tahun itu akan direman sehingga 6 Ogos ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak mengalami kecederaan pada seluruh badan dengan kesan melecur, lebam, luka, parut serta kecederaan lain kerana disyaki telah didera.

Dia dipercayai didera sejak Mei lalu sebelum diselamatkan ibu saudara sebelum ibunya membuat laporan polis pada 27 Julai lalu.

Ibu kanak-kanak terlibat menghantar anaknya itu untuk dijaga oleh individu berkenaan dengan bayaran RM300 sebulan kerana bekerja di Johor.

Mangsa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah ( HTAN ) Kuala Pilah dan kesnya juga dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Jempol. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button