Tiga banduan asing larikan diri dari pusat kuarantin
Tiga banduan warga asing melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Arena, Tawau, Sabah tengah malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu, banduan yang disahkan positif Covid-19 berkenaan didapati mengumpil jeriji besi di bahagian tandas PKRC tersebut dan kemudian melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, polis sedang giat memburu ketiga-tiga banduan berkenaan melalui Op Tutup dan Op Kesan.
Suspek yang melarikan diri dikenali sebagai Jimnajir Annor, 23; Niko Matheus, 25; dan Hasyim Muhamamad Syata, 34.
Mereka ditempatkan di PKRC tersebut bagi tujuan kuarantin dan pengasingan selepas disahkan positif Covid-19 bersama banduan dan tahanan lain.
“Selain mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa kawasan, kami turut menubuhkan pasukan pengesan yang disertai anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Unit Kereta Peronda (MPV).
“Malah, kawalan dan pemeriksaan turut dilakukan di sempadan daerah termasuk Pusat Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ),” katanya.
Beliau percaya kesemua suspek masih berada di daerah berkenaan dan gambar ketiga-tiga suspek sudah diedarkan kepada orang ramai.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek untuk segera menghubungi balai polis berhampiran.
Orang ramai juga diingatkan untuk berwaspada kerana ketiga-tiga suspek disahkan positif Covid-19.-SM