TMJ mempersilakan pihak tidak setuju pindah ke negeri lain yang masih amalkan cuti Jumaat dan Sabtu
PEMANKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, menegur pihak-pihak yang tidak berpuas hati serta mempertikaikan keputusan negeri Johor untuk menukar cuti hujung minggu dari Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad. Baginda menyatakan, jika ada individu yang tidak bersetuju demi agenda peribadi atau untuk kepentingan politik, mereka “dipersilakan pindah” ke negeri lain yang masih mengamalkan cuti pada Jumaat dan Sabtu.
Dalam titahnya melalui laman rasmi The Royal Johor, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan bahawa keputusan tersebut diambil setelah mendapatkan izin dan restu daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Baginda menekankan bahawa meskipun masih ada negeri yang mengekalkan cuti Jumaat dan Sabtu, perubahan ini dibuat dengan mengambil kira keperluan rakyat Johor untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
“Pertimbangan ini juga mengambil kira kesan positif terhadap ekonomi negeri yang seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada Johor. Ini seterusnya akan membawa keuntungan kepada negeri dan rakyatnya,” titah Tunku Mahkota Ismail.
Terdahulu media melaporkan pada Isnin lalu bahawa cuti hujung minggu di Johor akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan. Baginda menambah bahawa perubahan ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan juga melibatkan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Selain itu, Tunku Mahkota Ismail mengingatkan semua syarikat swasta, pihak kerajaan, dan pihak berkaitan untuk memberikan ruang dan masa yang mencukupi bagi pekerja Muslim menunaikan Solat Jumaat.
Artikle Berkaitan :>
Johor kembalikan cuti Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025