Nasional

Tidak perlu buka ILP baharu – Timbalan Menteri KSM

Wartawan Suara Merdeka

ALOR GAJAH 27 Jun – Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak bercadang untuk membuka Institut Latihan
Perindustrian (ILP) yang baharu walaupun kerajaan bakal diumumkan untuk bergerak ke arah sebuah negara
industri.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, buat masa ini KSM tidak nampak adanya keperluan untuk
mewujudkan ILP baharu memandangkan terdapat 10 lagi kementerian mempunyai institusi Pendidikan
Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang sama.

Justeru menurutnya, kementerian akan menggunakan pakai sepenuhnya sebanyak 32 ILP di seluruh negara
untuk memberikan tumpuan kepada sistem pembelajaran dan pendidikan TVET bagi melahirkan lebih ramai
tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan pasaran pihak industri.

“Buat masa kita akan penuhkan dahulu kursus-kursus yang ditawarkan di 32 ILP sedia ada di seluruh
negara memandangkan selain TVET di bawah KSM, kita ada lagi 10 institusi TVET di bawah kementerian
yang lain.

“Kita nak kenal pasti semua ILP ini untuk kita gunakan sepenuhnya dalam sistem pembelajaran dan
pendidikan TVET. Kalau kita tambah benda yang ada tetapi kita tidak guna penuh, itu namanya satu
pembaziran.

“Justeru, kita kena ada satu badan iaitu badan yang membuat satu penyelarasan yang mana badan ini akan
memberi pandangan mengenai TVET yang ada dalam negara kita termasuk di bawah KSM dan 10 kementerian
lagi,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen ke-25 Institusi Latihan Jabatan
Tenaga Manusia (ILJTM), KSM di Auditorium Iltizam ILP, Selandar dekat sini yang telah dirasmikan Yang
Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna
negeri, Ngwe Hee Sem dan Pengarah ILP Selandar, Dr. Sabri Zainuddin.

ILTJM meraikan seramai 249 graduan iaitu 13 Diploma dan 236 di peringkat sijil sempena majlis
konvokesyen tersebut.

Mengulas lanjut Awang berkata, menjelang tahun 2030, kerajaan menyasarkan peningkatan 35 peratus
tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dapat dilahirkan dalam sektor ekonomi.

Menurutnya, TVET dilihat sebagai medium yang dapat membantu mencapai sasaran tersebut bagi memenuhi
permintaan yang tinggi daripada pihak industri.

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 mengiktiraf TVET sebagai salah satu pemboleh daya yang menyumbang ke
arah pembentukan sebuah negara membangun, makmur, inklusif dan mampan,” ujarnya.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button