Tidak mampu jaga warga sakit adalah kerajaan yang gagal – Najib
Najib cadangkan agar hotel yang kosong dan kem PKLN dijadikan pusat kuarantin
Kematian seorang lelaki warga emas yang mengalami kemurungan selepas disahkan positif Covid-19 semalam adalah berita yang menyedihkan.
Ini berikutan lelaki tersebut mengambil nyawanya sendiri kerana tidak tahan dengan kesakitan dan terpaksa mengeluarkan kos rawatan sehingga RM40,000 di hosiptal swasta.
Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan mengapa seorang pesakit Covid yang mengadu kesakitan dan bergejala tidak diberi tempat di fasiliti rawatan kerajaan.
“Sehingga seorang warga emas yang dalam keadaan positif Covid dan berpeluang menjangkiti orang lain perlu pergi ke bank untuk mengeluarkan duit RM40,000 untuk menjalani rawatan Covid di hospital swasta.
“Sebuah kerajaan yang tidak mampu menjaga warga sendiri yang jatuh sakit adalah sebuah kerajaan yang gagal segagalnya,” kata Najib.
Najib berkata, beliau memahami jumlah kes aktif Covid sudah melepasi kapasiti sistem kesihatan sedia ada.
Beliau sendiri telah banyak memberi amaran bahawa situasi tersebut bakal berlaku pada bulan November dan bulan Disember apabila kerajaan menarik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, menarik sekatan rentas negeri, melancarkan kempen pelancongan domestik dan melonggarkan SOP Covid.
Justeru beliau menyarankan agar kerajaan lebih berinovasi untuk mencari jalan bagi menambah kapasiti pusat rawatan kes berisiko rendah.
Penambahan pusat kuarantin membolehkan pesakit yang positif Covid-19 tidak menjalani rawat kendiri serta kuarantin kendiri di rumah atau terpaksa menghabiskan segala simpanan usia tua bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta yang mahal.
Kata Najib, terdapat banyak hotel yang sudah berhenti operasi sejak pandemik bermula dan kem-kem Pusat Latihan Kkhidmat Negara yang tidak lagi terpakai boleh digunakan sebagai pusat kuarantin.
“Kenapa tempat-tempat ini tidak boleh dipulihkan oleh kerajaan untuk menjadi pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah dalam masa yang singkat?
“Sila juga bekerjasama dengan pihak polis dan umumkan secara awam bahawa mereka yang positif Covid dan sedang mengalami kesakitan tetapi tidak berjaya berhubung dengan KKM dibenarkan untuk menghubungi talian kecemasan polis untuk mendapat bantuan segera dari pihak KKM,” kata Najib.
Semalam media melaporkan seorang lelaki warga emas yang disahkan positif Covid-19, ditemui mati di rumahnya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor, pada Jumaat lalu.
Mangsa ditemui mati dengan kesan kelar pada tengkuknya.
“Hasil pemeriksaan menunjukkan tiada unsur jenayah. Kita temui kesan kelar pada tengkuk lelaki berusia 66 tahun itu,” kata Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah.
Siasatan menunjukkan bahawa lelaki itu melakukan ujian swab di hospital swasta pada 7 Januari dan disahkan positif Covid-19 pada keesokan harinya.
Ujian swab kedua dilakukan pada 18 Januari dan hasilnya pada 20 Januari menunjukkan bahawa dia masih positif.
Mangsa mengajak isterinya ke bank pada Jumaat untuk memindahkan wang sebanyak RM40,000 untuk tujuan rawatan Covid-19.
Menurut isterinya, mangsa kerap mengadu kesakitan dan berada dalam keadaan murung apabila disahkan positif Covid-19-SM