Uncategorized

Tidak ada bazar Ramadan di Sabah tahun ini

KERAJAAN negeri Sabah secara prinsipnya tidak membenarkan penganjuran bazar Ramadan di seluruh negeri pada tahun ini sebagai usaha membendung penularan jangkitan wabak COVID-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Safar Untong berkata ia adalah seiring dengan keputusan kerajaan negeri untuk tidak membenarkan penganjuran tamu mahupun pasar tani.

“Kerajaan negeri akan membuat satu pengumuman rasmi (berhubung perkara ini) nanti termasuk mengenai prosedur operasi standard (SOP) antara lain melibatkan waktu operasi setiap aktiviti yang ingin dijalankan di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Safar berkata kerajaan negeri kini sedang dalam proses untuk memuktamadkan SOP itu termasuk berkaitan waktu operasi di setiap pasar raya di negeri ini bertujuan memastikan wabak COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya.

“Kalau dahulu mungkin (SOP dan waktu operasi) tidak seragam, tetapi sakarang ini kita (kerajaan negeri) akan menyeragamkannya.

“Sebagai contoh, di pasar raya, setiap pekerja dan pengunjung mesti memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya seperti yang dilaporkan BERNAMA.

Sebelum ini Pulau Pinang turut membatalkan penganjuran bazar Ramadan di seluruh negeri itu pada tahun ini dibatalkan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, menurut Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) Pulau Pinang hari ini selepas mengambil kira keselamatan dan kesihatan rakyat di negeri ini.

Selain itu, Chow berkata mesyuarat meluluskan pengoperasian beberapa perkhidmatan dengan tempoh operasi dua kali seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis dari pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang bermula 6 April ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button