Tiada terdengar tangisan murid tahun satu
MELAKA 21 Mac – Suasana sesi persekolahan secara bersemuka bagi sesi 2022/2023 khususnya murid tahun satu hari ini tidak seperti sebelum ini.
Tinjauan Suara Merdeka di Sekolah Kebangsaan (SK) Lereh mendapati tiada lagi kedengaran suara tangisan murid-murid kedengaran sejurus mereka memasuki kelas.
Ibu bapa pula tidak lagi menunggu dan memantau anak masing-masing sehingga sesi persekolahan berakhir.
Sewaktu sesi persekolahan berakhir kira-kira pukul 12.40 tenghari, wajah murid-murid begitu ceria apabila melangkah keluar pagar sekolah disambut ibu bapa masing-masing.
Pergerakan murid dikawal, termasuk pada waktu rehat yang mana mereka akan hanya makan di dalam kelas.
Sewaktu pulang, guru-guru setiap kelas akan mengiringi murid-murid hingga ke pagar sekolah sebelum ibu bapa menyebut nama anak mereka sebelum dibenarkan keluar dari sekolah tersebut.
Suasana melihat murid-murid yang pertama kali memasuki sekolah jauh berbeza sebelum ini. Wajah ceria mereka melangkah keluar dengan senyuman.
Seorang murid Aifa Sofea Mohamad Nor Hadi berkata, dia sangat gembira kerana dapat bertemu ramai kawan.
Kata anak sulung daripada tiga beradik itu, dia tidak rasa takut memasuki sesi persekolahan walaupun tanpa
kehadiran ibu bapa.
“Seronok sangat dapat ramai kawan baru. Esok nak pergi lagi ke sekolah,” katanya ditemani ibunya yang menetap di Taman Pasir Emas, Klebang.
Bagi Suci Sofia Tihani Amran pula berkata, dia gembira kerana dapat ramai kawan baharu.
“Hari ini tak belajar apa pun. Cikgu ajar menyanyi, mengeja dan mengira. Seronok sangat dan nak datang sekolah lagi,” ujarnya.
Dia ditemani ibunya, Siti Anum Che Ab. Wahab berkata, anaknya sangat teruja untuk ke sekolah dan bangun pada pukul 6.00 pagi.
Katanya, Suci balik dari sekolah sangat gembira dan bercerita mengenai suasana dalam bilik darjah.
Sementara itu, Maya Arryssa Rahmat pula berkata, dia seronok dapat bertemu ramai kawan baharu.
“Adik tak menangis pun! Adik suka datang sekolah kat sini ramai kawan dan cikgu pun baik,” ujarnya ringkas.- SM