Nasional

Melaka dapat loji termoden rawat air kumbahan

MELAKA 21 Mac – Melaka menerima loji rawatan kumbahan teknologi hijau terbesar bernilai RM111 juta yang memanfaatkan seramai 140,000 penduduk di negeri ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, loji termoden dengan pelepasan
kualiti efluen kumbahan mencapai standard A itu yang terbesar dibina di negeri ini selepas Alor Gajah dan Bandaraya Melaka.

Menurutnya, Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam itu mampu merawat sehingga 126,000 meter padu
kumbahan dalam sehari dan memanfaatkan 140,000 penduduk negeri ini.

Beliau berkata, kesemua 16 loji kumbahan kecil sedia ada di sekitar Batu Berendam juga akan ditutup dan disambungkan kepada loji tersebut itu bagi memudahkan pemantauan.

“Loji bernilai RM111 juta ini dibangunkan dengan teknologi rawatan Extended Aeration (EA) dan mampu merawat kumbahan sehingga 126,000 meter padu sehari, sekali gus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

“Ia juga menghasilkan kualiti efluen kumbahan yang sangat baik dan boleh digunakan di kilang-kilang industri, bukan untuk makan atau minum tetapi penyejukkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian dan penyerahan Projek
Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam kepada Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) di
sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Atan; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan, Ir. Ahmad Rozian Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn. Bhd., M. Narendan.

Tambahnya, kawalan bau dalam reka bentuk projek juga dapat meminimumkan insiden kacau ganggu kepada penduduk sekitar.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga yakin projek berkenaan dapat meluaskan perkhidmatan pembentungan di bandar-bandar utama kepada 85 peratus menjelang 2025 dan memanfaatkan sehingga 500,000 pengguna.

“InsyaAllah perkara ini sedang dibincang lanjut bersama IWK dan syarikat air negeri seluruh negara untuk memperluaskan lagi penggunaan air rawatan daripada loji untuk kegunaan industri kilang.

“Saya dimaklumkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) merupakan syarikat air negeri yang kedua selepas
Selangor yang bersetuju mengambil manfaat daripada air kumbahan yang telah dirawat ini untuk kegunaan
industri,” katanya. -SM

(Visited 142 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button