Tiada siapa akan tercicir daripada perhatian kerajaan negeri – MB Selangor
MENTERI Besar Selangor memberi jaminan tiada sesiapa yang akan tercicir daripada perhatian Kerajaan Negeri.
Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini kerajan kerajaan Selangor adalah kerajaan yang prihatin dan akan berjaya bersama-sama seperti sebuah keluarga.
“Tidak sekadar menggagas idea besar Smart State, kita juga menyusun atur kelancaran pelaksanaannya dengan mengambil kira ‘the lowest common denominator’, seperti orang-orang tua, mereka yang tidak begitu mahir atau celik computer, dengan inisiatif Rakan Digital Selangor.
“Harapannya, bukan setakat ibu-ayah, tetapi atuk dan nenek kita juga semua dapat bersama-sama dalam arus digitalisasi ini,” katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina.
Dalam ucapan itu beliau mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh komuniti Tiong Hua khususnya di Selangor serta seluruh negara sempena tahun baru kali ini yang amat berbeza sambutannya.
“Untuk sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai budaya dan mendapat manfaat daripada pelbagai sambutan perayaan yang ada, Tahun Baharu Cina adalah perayaan terakhir yang sempat diraikan sepenuhnya mengikut tradisi pada tahun lalu sebelum lockdown ataupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sambutan tahun ini adalah kali pertama Tahun Baharu Cina disambut pada kadar kemeriahan yang berbeza.
“Kalau dahulunya dipenuhi dengan aktiviti tarian singa, mainan mercun, lawatan ke rumah sanak keluarga dan rakan-taulan, Tahun Baharu Cina tahun 2021 hanya dapat diraikan dengan keluarga terdekat dilengkapi lambungan ‘yee sang’ serta makanan lain.
“Namun begitu, yang tetap menjadi perhatian pada sambutan Tahun Baharu Cina kali ini adalah aspek keluarga dan kepentingan mentaati ibu bapa; salah satu elemen terpenting dalam ajaran Confucius.
“Elemen ini beserta unsur kebersamaan dan keterikatan komuniti menjadi asas kepada sambutan Tahun Baharu Cina dan menjadikan perayaan kali ini lebih bermakna.
“Mengambil iktibar ini, Selangor juga mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina secara maya melalui platform digital. Ini semua sebahagian daripada digitalisasi yang sebenarnya sudah pun dimulakan di Negeri Merah Kuning ini semenjak 2016 lagi, tetapi diberi pecutan dan lonjakan yang dipercepatkan akibat cabaran pandemik Covid-19.
“Banyak lagi usaha Kerajaan Negeri yang kita susun dan atur untuk rakyat. Buat komuniti perniagaan khususnya, kita telah merintis jalan pembaharuan pentadbiran dengan pengenalan Dasar 100 Hari semenjak 2019 lagi. Pada Belanjawan 2021 kita telah mengumumkan Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) dan E-Pembekalan Peruncit Mikro dan Kecil.
“Dalam masa yang sama, kita terus menggariskan beberapa usaha lain dalam menampan beban kewangan yang tercetus akibat wabak ini, dengan sederetan program upskilling dan reskilling Selangor Kerjaya, juga Selangor Freelance, NaDI dan RiDE sekadar menyebut beberapa contoh.
“Seperti semangat Lembu dalam Zodiak Cina yang membawa maksud kerja keras, kejujuran dan keluhuran, begitu juga aspirasi yang cuba dibawa Selangor dan tercermin dalam gerak kerja kita untuk rakyat.
“Saya mengharapkan yang terbaik untuk semua, agar dalam keadaan wabak yang terus menggila, kita tidak putus asa dan terus bekerja bagi meneruskan kehidupan kita. Dengan doa dan harapan tersebut, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua,” katanya. – SM