Luar NegaraSukan

Juara dunia F1 dua kali: Kereta langgar Alonso naik basikal

FERNANDO Alonso dikejarkan ke hospital selepas terbabit dalam satu kemalangan sewaktu sedang berbasikal di Switzerland, semalam.

Juara dunia dua kali Formula 1 (F1) itu sedang melakukan persiapan untuk kembali berlumba dalam F1 bersama pasukan Alpine bulan depan selepas dia meninggalkan sukan perlumbaan termahal di dunia itu sejak dua musim lepas.

Bagaimanapun pembabitannya dalam sesi ujian pra-musim yang bakal diadakan di Bahrain pada 12 hingga 14 Mac ini yang mana perlumbaan pembukaan musim juga akan berlangsung di litar sama dua minggu berselang kini menjadi tanda tanya.

Laporan mendedahkan, bintang F1 Sepanyol berusia 40 tahun itu dikatakan telah dilanggar sebuah kereta sewaktu berbasikal berhampiran kediamannya di Lugano, dan pasukannya mengesahkan, hari ini (waktu Malaysia), bahawa Alonso berada dalam keadaan sedar dan baik.

Spekulasi turut tersebar bahawa Alonso ditimpa kecederaan rahang walaupun Alpine masih bersikap menutup mulut berhubung keadaan terkini pelumba itu dan berkata, mereka akan mengemas kini situasi tersebut dalam masa terdekat.

Alpine yang sebelum ini dikenali sebagai Renault dan ditukar nama kepada jenama kereta sports Perancis itu, berkata: “Alpine F1 Team hanya boleh mengesahkan Fernando Alonso terbabit dalam kemalangan jalan raya sewaktu sedang berbasikal di Switzerland.

“Fernando berada dalam keadaan sedarkan diri serta baik dan dia sedang menanti pemeriksaan lanjut perubatan pada esok pagi (Jumaat waktu Malaysia).

“Alpine F1 Team tidak akan membuat sebarang kenyataan lanjut buat masa ini. Untuk maklumat terkini akan dimaklumkan esok.”

Menurut akhbar terbitan Itali, La Gazzetta, pelumba Sepanyol itu, yang memenangi gelaran dunia F1 secara berturut-turut ketika bersama Renault pada 2005/06, sedang menunggang basikalnya di Switzerland ketika dia dilanggar kereta.

Akhbar itu turut mendakwa bahawa Alonso mungkin ditimpa kecederaan retak pada rahang, yang bakal menyebabkan kedudukannya untuk menyertai perlumbaan pembukaan musim, bulan depan kini diragui.

Alonso telah meninggalkan F1 sejak dia mengumumkan persaraannya ketika bersama McLaren pada penghujung musim 2018.

Namun pemandu Sepanyol itu yang memenangi kejuaraan dunia sebanyak dua kali berturut-turut bersama Renault telah melengkapkan kepulangan sensasinya bersama pasukan pengeluar Perancis itu yang kini dijenamakan semula sebagai Alpine.

Alonso bersaing dalam 311 Grand Prix dan memenangi 32 perlumbaan. Dia mewakili Renault pada awal kariernya sebelum meninggalkan pasukan itu untuk menyertai McLaren yang hanya disertainya semusim setelah terpaksa mengharungi kempen yang sukar di samping Lewis Hamilton yang pada ketika itu seorang pendatang baharu.

Dia kembali ke pangkuan Renault sebelum menyertai Ferrari selama empat tahun di mana Alonso hampir merangkul gelaran dunia sebanyak dua kali.

Selepas berselisih pendapat dengan pasukan Itali itu, dia kembali ke pangkuan McLaren, tetapi perpindahan tersebut ternyata tidak membantu kariernya.

Alonso meninggalkan sukan itu selepas empat musim bersama McLaren tetapi dia kini kembali ke kancah F1 untuk bergandingan dengan Esteban Ocon di Alpine, musim ini. – Mirror – SM

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button