Tiada premis judi bebas beroperasi di Segamat
POLIS Diraja Malaysia hari ini menafikan bahawa terdapat premis perjudian yang masih bebas beroperasi di Jalan Tembusu dekat Segamat seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata premis berkenaan tidak lagi beroperasi, malah tiga serbuan telah dilakukan di lokasi sama sejak awal tahun ini.
“Pemeriksaan telah dilakukan dan kita mendapati tiada lagi aktiviti judi ekor haram dilakukan di situ,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.
Beliau mengulas mengenai hantaran laman Facebook ‘Malaysian Crime Watch – MyWatch’ hari ini yang turut memuat naik beberapa keping gambar, mendakwa premis terbabit menjalankan aktiviti perjudian dan ekor haram serta berselindung di sebalik kedai minuman.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat yang turut dihubungi berkata, premis terbabit telah diserbu pada 8 Mac, 5 April dan terbaharu, 1 Ogos lepas.
“Serbuan kerap dilakukan bagi mengelakkan sebarang ruang untuk sindiket perjudian beroperasi. Selain itu, bekalan eletrik juga telah dipotong sejak September tahun lepas.
“Hari ini, saya juga telah menghantar satu pasukan untuk membuat pemeriksaan dan mendapati tiada sebarang aktiviti penjualan nombor ekor dijalankan. Bagaimanapun, kami sentiasa membuat pemantauan berterusan,” katanya. – BERNAMA