Bola SepakSukan

Tiada lagi gaji lewat – Nur Azmi Ahmad

Pihak pengurusan Kelab Melaka FC memberi jaminan gaji pemain yang akan menyarung jersi pasukan itu dalam saingan Liga M3 musim ini akan dibayar tepat pada masanya kata Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur Melaka (MAFA), Datuk Nur Azmi Ahmad.

Menurutnya, jaminan itu diberikan dengan penampilan imej dan entiti pasukan baharu yang kini dalam proses pembentukan barisan pemain dan staf kejurulatihan dalam usaha melonjakkan diri ke kancah saingan Liga Super musim 2024.

Beliau berkata, rundingan MAFA kini di peringkat akhir dengan beberapa syarikat swasta yang akan menjadi penaja utama dan nasib pasukan skuad Hang Tuah tidak lagi seperti musim sebelum ini yang dibelenggu tunggakan gaji masih belum diselesaikan oleh pengurusan Melaka United FC.

“Saya beri jaminan soal kelewatan gaji pemain, pegawai dan jurulatih tidak akan lagi berlaku walaupun gaji pemain Melaka FC tidak sehebat kelab bola sepak Johor Darul Ta’Zim (JDT).

“Saya juga akan umumkan cara yang lebih baik berhubung pembayaran gaji bagi memuaskan hati semua pihak. Saya mahu membersihkan nama bola sepak Melaka.

“Matlamat kita dalam Liga M3 adalah untuk menang semua perlawanan dan layak secara automatik ke Liga Super musim 2024,” ujarnya ketika ditemui selepas perlawanan akhir Liga Bola Sepak Piala Gabenor 2023 di Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka, kelmarin.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam telah menyempurnakan penyampaian hadiah yang menjadi milik MBMB Warriors menewaskan Tampoi FC 2-1. Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Mengulas lanjur Nur Azmi berkata, Melaka FC telah melantik jurulatih dari Portugal sebagai ketua jurulatih pasukan itu bagi merealisasikan kebangkitan skuad Hang Tuah terutama mensasarkan menjuarai Liga M3.

Menurutnya, jurulatih itu serta barisan pemain yang akan menyarung jersi Melaka FC akan mengikat kontrak pada 9 Februari depan.

“Ini adalah pasukan yang akan mewarnaikan kembali bola sepak Melaka kerana matlamat saya mahu membentuk pasukan yang kuat untuk kita bermain semula ke Liga Super,” katanya.

Sarawak United FC dan Melaka United sebelum ini gagal memperoleh lesen kebangsaan untuk musim depan kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022 sekali gus tidak layak untuk bertanding di pentas Liga Super 2023. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button