Nasional

Tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung

TARIF elektrik di Semenanjung tidak akan dinaikkan membabitkan semua pengguna sehingga 31 Disember ini.

Bagi pengguna komersial dan industri pula akan mengalami penurunan kadar surcaj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) sebanyak satu sen/kWj bagi tempoh yang sama.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), kadar surcaj juga turun sebanyak satu sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT), bagi membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan pencahayaan yang menyeluruh di kawasan awam seperti lampu jalan, taman perumahan dan kawasan rekreasi.

“Secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik secara bersasar bagi tempoh tersebut akan dibiayai kerajaan sebanyak RM2.192 bilion.

“Melalui keputusan ini, kerajaan komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kerajaan juga jelas PETRA, berharap penurunan kadar surcaj ICPT kepada kategori ini dapat terus mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran, di samping menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia, seterusnya dapat meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara.

“Kementerian percaya bahawa pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan yang terbaik pada masa ini supaya dapat mengurangkan komitmen subsidi kerajaan.

“Peruntukan tersebut sebaliknya akan disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat serta membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara,” jelas kenyataan itu.

Kerajaan juga terus kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran.

Tambah PETRA, walaupun tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh Julai hingga Disember 2024, pengguna disarankan untuk sentiasa menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dan mengamalkan amalan cekap tenaga.

“Di bawah Program SAVE 4.0, pengguna boleh menerima e-rebat sehingga RM400 bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga yang mendapat penarafan empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Pengguna juga digalakkan untuk menyertai inisiatif pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di bangunan kediaman masing-masing di bawah Program Net Energy Metering (NEM).

“Melalui program baharu Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS), pengguna baharu Program NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada dan selepas 1 April 2024 akan menerima rebat RM1,000/kwAC sehingga maksimum RM4,000,” jelas kementerian itu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button