Nasional
Tiada isu bekalan makanan kurang akibat banjir – Mohamad Sabu
NEGARA ini tidak akan berdepan isu kekurangan bekalan makanan meskipun berdepan cabaran banjir seperti yang berlaku baru-baru ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanana, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kekurangan bekalan boleh diatasi kerana kerjasama baik antara negara ASEAN membolehkan bekalan makanan diimport bagi memenuhi keperluan.
“Dalam negara Asia ini, nombor satu keterjaminan makanan ukuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah Singapura, kita jatuh nombor dua.
“Singapura bukan ada apa-apa tanaman mereka. Di mana dia dapat ayam? Dia melabur di Johor, di mana dia dapat padi? Tentulah dia ada kerjasama di Vietnam ataupun Thailand. Mana dia dapat daging dan sebagainya? Tentulah ada kerjasama dengan Australia.
“Kita sekarang pun perlu begitu dan tidak boleh lagi bergerak secara solo. Ini kerana sesama negara ASEAN menjalin kerjasama baik, InsyaAllah,” katanya.
Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) sebelumnya merasmikan Konvensyen AMANAH Johor, di Johor Bahru pada Sabtu.
Sementara itu Mohamad berkata, walaupun keperluan bekalan makanan boleh dipenuhi melalui kerjasama perdagangan, namun kerajaan tetap berusaha membuka jelapang ketiga dan keempat iaitu di Sarawak dan di Sabah ke arah menjamin sekuriti makanan. – SM