Nasional

Tiada halangan rakyat Malaysia mohon visa kerja ladang di Australia

RAKYAT Malaysia yang ingin bekerja di ladang-ladang di Australia tidak akan dihalang atau pun disekat oleh kerajaan daripada membuat permohonan visa untuk bekerja di sana, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan

Saravanan berkata, kerajaan juga tidak menyekat rakyat negara ini yang berhasrat untuk bekerja di luar negara dan mereka yang berhajat, tertakluk kepada terma, syarat dan undang-undang negara berkenaan.

Kata Saravanan, timbul kekeliruan mengenai perkara itu baru-baru ini selepas timbalannya, Awang Hashim menjawab pertanyaan mengenai skim pekerja sektor perladangan di Australia di Dewan Negara minggu lalu.

Skim itu katanya, diperkenalkan bagi menangani kekurangan pekerja dalam sektor perladangan di Australia iaitu situasi yang turut dihadapi Malaysia.

“Senario yang berlaku di Australia dan Malaysia agak mirip di mana sektor perladangan yang rata-ratanya melibatkan kerja 3D, iaitu ‘dangerous, dirty and difficult’ menyebabkan ramai pekerja tempatan tidak berminat untuk menceburkan diri dalam sektor tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saravanan yang mengadakan perbincangan dengan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Justin Lee mengenai perkara itu bulan lalu berkata, Malaysia tidak akan mengadakan program visa bagi pendatang di sini.

“Pendekatan yang diguna pakai oleh Australia tidak akan diikuti oleh Malaysia kerana ia menjurus kepada penawaran sebagai status penduduk tetap.

“Oleh itu, hal ini tiada kaitan sama sekali dengan sekatan untuk rakyat Malaysia bekerja di luar negara termasuk Australia,” katanya.

Skim visa pekerja ladang membolehkan majikan Australia menaja pekerja mahir, separa mahir dan tidak mahir dari rantau ini untuk bekerja di ladang mereka.

Pekerja dibenarkan bekerja di sana selama tiga tahun, kemudian mereka boleh memohon untuk menjadi penduduk tetap Australia.

Awang berkata, kerajaan tidak bercadang mengikut pendekatan Australia bagi meningkatkan tenaga kerja dalam sektor pertanian kerana tumpuan diberikan kepada usaha mengambil pekerja tempatan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button