Tiada beza songkok hitam, putih – Zahid
KUALA LUMPUR – Ketika banyak pihak tidak menyenangi kerjasama Pas dan UMNO dalam menggembleng Himpunan Penyatuan Umah, hubungan para pemimpin dan ahli dua parti tonggak orang Melayu serta Islam itu semakin akrab.
Bahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan di Terengganu malam tadi memohon maaf kepada semua ahli Pas dari hujung rambut hingga ke hujung kaki di atas semua yang berlaku.
Menurut beliau ia adalah kifarah supaya membuka mata dan merintis jalan ke arah perpaduan umat Islam di negara ini.
“Tiada beza sama ada berkopiah putih atau bersongkok hitam, kita semua adalah satu ummah dan satu perjuangan.
Menurutnya, kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu bukan sekadar takdir malah ketentuan ALLAH SWT.
“Mungkin ALLAH SWT mahu turunkan pengajaran disebabkan kifarah kesilapan yang berlaku sejak 61 tahun.
“Justeru saya mewakili seluruh kepimpinan UMNO memohon maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki daripada seluruh kepimpinan Pas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru kepada seluruh akar umbi parti dapat mengetepikan perbezaan pendapat demi mengembalikan maruah Islam dan Melayu di negara ini. Kita berusaha, bertawakal dengan izin-Nya, Putrajaya sudah mesti milik kita dalam PRU15,” katanya.