Lembaga Tabung Haji (TH) diarahkan untuk mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan ke atas akaun pendeposit bagi mengelak daripada wang dari akaun simpanan dipindah tanpa kebenaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, TH akan mengambil pendekatan untuk memastikan keselamatan wang pendeposit adalah terjamin.
Menurutnya, arahan itu dibuat ekoran berlaku lagi kejadian pendeposit TH kehilangan sejumlah wang yang didakwa dipindah tanpa kebenaran pada 20 Februari lalu.
Beliau berkata, disebalik arahan kepada TH untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan paling penting pendeposit dinasihatkan agar lebih berhati-hati agar tidak memuat turun pautan laman sesawang yang mencurigakan.
“TH telah beri jaminan akan memastikan keselamatan akaun pendeposit tidak mudah diceroboh.
“Kita tak mampu lakukan ini sekiranya pendeposit TH tidak mengambil pendekatan berhati-hati.
“Bila masyarakat bersikap berhati-hati dan TH perkukuhkan keselamatan saya percaya ia dapat mengelak daripada mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil wang dari simpanan pendeposit,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan
2024 di Banda Hilir, Melaka di sini pada Rabu.
Pada majlis tersebut yang dihadiri 350 peserta, Mohd. Na’im turut melancarkan Sistem Wakaf Tunai Malaysia (SWTM) Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).
Beliau berkata demikian mengulas kejadian seorang bilal masjid yang berputih mata apabila wang berjumlah RM12,000 dalam akaun Tabung Haji miliknya didakwa dipindah tanpa kebenaran pada 20 Februari lalu.
Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd. Asri Mohd. Venus berkata, laporan dibuat mangsa pada 26 Februari lalu melibatkan kes wang simpanan Tabung Haji yang didakwa berkurangan.
Mengulas lanjut Mohd. Na’im berkata, TH telah mengambil tindakan pantas membekukan akaun mangsa pada 23 Februari apabila menyedari berlaku transaksi yang mencurigakan.
“TH menerima laporan kejadian tersebut daripada mangsa pada 26 Februari namun kita telah bertindak lebih pantas jika tidak mungkin lebih banyak wang dari akaun mangsa dipindahkan tanpa kebenaran,” ujarnya.
Mengenai SWTM Mohd. Na’im berkata, ia merupakan satu sistem digital yang komprehensif dan menjadi ‘one stop centre’ bagi pemerkasaan amalan berwakaf bayaran secara elektronik.
Katanya, antara kemudahan yang disediakan ialah melaksana pewakafan tunai secara sekali beri (one off), permohonan wakaf secara potongan gaji bulanan kepada kakitangan awam dan menyemak semua senarai transaksi.
“Semua pewakaf anjuran YWM layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(11C), Akta Cukai Pendapatan 1967 yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan,” katanya. – SM