Terus istiqamah dan komited membentuk generasi baharu, Radzi Jidin
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin telah merasmikan Majlis Perasmian Mustaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Agama KPM ke-6 tahun 2022 di Hotel Summit USJ, di sini, malam tadi.
Hampir 400 orang Pengetua dan Guru Besar serta pegawai KPM hadir dalam majlis tersebut.
“Dalam konteks pengurusan sekolah agama, peranan pengetua dan guru besar amat penting dalam menerajui kepimpinan sekolah dan melancarkan pelaksanaan dasar pendidikan.
“KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan kepimpinan sekolah selari dengan elemen dan nilai murni. Ini termasuk penerapan dan amalan ajaran Islam, termasuk menekankan kepentingan kepimpinan yang bersih, amanah, prihatin dan pada masa yang sama cekap dan profesional,” katanya dalam majlis tersebut.
Beliau berkata, generasi yang hebat akan sentiasa melahirkan generasi seterusnya yang lebih hebat dalam melaksana dan memastikan pendidikan terbaik untuk anak-anak.
Justeru, beliau berharap agar semua pengetua dan guru besar SMKA dan SABK sentiasa istiqamah dan komited dalam membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan.