Hiburan

Tersingkir pada minggu keempat, Zack Cool sudah bersedia

PERJALANAN Zack Cool dalam program Hijrahkan Laguku (HL) terhenti di minggu keempat apabila hos, Faizal Ismail dan Bell Ngasri mengumumkan penyingkirannya pada Sabtu.

Mark Adam bersama Zack Cool diumumkan berada di kedudukan terbawah pada minggu keempat program itu.

Bertemakan Medley, Zack Cool membawakan lagu Agungnya Cinta iaitu sebuah medley Aisya Isteri Rasulullah dan Ya Rasulullah dengan memperoleh markah 55 peratus daripada juri profesional iaitu Fauzi Marzuki, Hazamin Inteam, dan Ustaz Syamsul Debat.

Related Articles

Zack Cool yang ditemui setelah program itu tamat berkata, dia sudah bersedia dengan apa-apa keputusan juri dan sudah redha dengan rezeki yang Allah berikan kepadanya.

“Daripada awal lagi saya menerima tawaran ini, saya sudah bersedia dengan apa-apa kemungkinan termasuklah penyingkiran ini.

“Dan saya juga sudah redha kerana rezeki itu Allah yang tentukan, jadi jika ada perasaan kecewa maksudnya saya masih lagi belum hijrah serta masih belum memahami masalah agama.

“Jadi, pada saya itu tidak menjadi masalah kerana walaupun saya berhenti di sini, saya akan teruskan perjuangan saya dan masih akan keluarkan lagu di studio,” katanya.

Tambahnya lagi, untuk persembahan minggu keempat, dia membuat perubahan di saat-saat akhir dalam pemilihan lagu.

“Pada persembahan kali ini, saya membuat perubahan saat-saat akhir.

“Mula-mula saya letak lagu moden tapi saya mendapat ilham untuk dua lagu iaitu kisah cinta Rasulullah dengan Siti Aisyah dan Rasulullah sendiri,” katanya.

Persembahan minggu keempat HL turut menyaksikan PG Adam menerima Anugerah Bintang Versatile.

Anugerah itu diberikan kerana dia berani menyahut cabaran dalam mengubah lagu yang sukar dan melalui kesungguhannya dalam persembahan dengan membawa prop, berbeza dengan peserta-peserta lain.

Sementara itu, Shahir Zawawi yang menyanyikan lagu Berharap Padam (Medley Berhenti Berharap dan Ghazal Untuk Rabiah) mendapat markah tertinggi iaitu 79 peratus diikuti oleh Datuk Nash ditempat kedua dengan lagu Debunga Rindu (Medley Debunga Wangi dan Di Halaman Rindu) dengan markah 68 peratus dan di tempat ketiga iaitu Iwan Shahman dengan lagu Sayang Rasul, Cinta Allah (Medley Ahmad Dia Muhammad dan Dia Yang Teragung) dengan markah 66 peratus.

Selain itu, persembahan lain yang berjaya memukau penonton adalah PG Adam dengan lagu Untukmu Kasih (Medley Tak Siap Kehilangan dan Ayah), Zaf V.E dengan lagu Engkaulah Hidupku (Medley Aku Cinta Kau Dan Dia dan Dewi) dan Mark Adam dengan lagu Tiada Ganti (Medley Kesetiaan dan Kaulah Segalanya).

Allahu Kaafii pula dipilih sebagai lagu penutup yang dinyanyikan secara berkumpulan.

Hijrahkan Laguku bersiaran setiap Sabtu, pada pukul 9 malam dan siaran ulangan HL boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, pukul 4.30 petang. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button