Politik

Teresa gembira menteri PN teruskan dasar tanam pokok buluh

BEKAS Menteri Industri Utama Teresa Kok gembira Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali meneruskan dasar penanaman buluh yang diperkenalkan oleh beliau ketika era pemerintahan Pakatan Harapan.

Teresa berkata, beliau sudi membantu sekiranya Mohd Khairuddin ingin mendapat pandangan dan cadangan tentang perlaksanaan penanaman buluh ataupun isu-isu lain di bawah kementerian yang diterajuinya sebelum ini.

“Saya gembira YB Ust Dr. Khairuddin Takiri, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi meneruskan dasar dan halatuju penanaman buluh yang ditetapkan oleh saya dan pihak Lembaga Industri Kayu-Kayan (MTIB) pada tahun lepas.

“Saya percaya Menteri baru ini sedar kenyataannya yang membidas cadangan saya pada tahun lepas (3 Mac 2019) adalah kurang cerdik kerana beliau tidak dapat gambaran yang jelas berkenaan cadangan penanaman buluh secara besar-besaran,” kata Teresa.

Mohd Khairuddin dalam satu kenyataan semalam berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan industri buluh sebagai program game changer dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).

Saiz pasaran global bagi produk buluh dianggarkan berjumlah US$68 bilion (US$1= RM4.34) pada tahun 2018, bagaimanapun, sumbangan eksport industri berasaskan buluh negara masih rendah iaitu sekitar RM9 juta pada 2019.

Jelasnya, pokok buluh merupakan pokok mudah ditanam dan dijaga kerana tempoh matang pokok buluh adalah singkat iaitu di antara tiga hingga empat tahun dan boleh dituai selepas tempoh berkenaan.

Ketika ini, terdapat kira-kira 100 pengusaha buluh dalam pelbagai kategori seperti perabot, makanan, fabrik, kraftangan, kutleri, pembinaan dan eko-pelancongan.

Lima spesies buluh yang telah dikenalpasti di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) adalah spesies Buluh Betung, Buluh Semantan, Buluh Beting, Buluh Beti dan Buluh Hitam.

Ketika Teresa memperkenalkan dasar penanaman buluh bagi mempelbagaikan sumber pendapatan pekebun kecil yang bergantung kepada penanaman sawit banyak pihak mempertikai cadangan tersebut termasuk Mohd. Khairuddin.

Dalam tangkap layar Facebook Ust Dr. Khairuddin at-Takiri bertarikh 3 Mac 2019, beliau menulis,” Satu lagi idea bernas daripada Menteri PH selain menoreh musim tengkujuh. Tanam buluh dan kelapa menggantikan sawit. Kegagalan menguruskan pasaran sawit sehingga jatuh merudum harganya dengan idea baru yang dirasakan bernas. Adakah semudah itu lontaran idea Menteri? -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button