Nasional

Terengganu kaji semula larangan jualan padi ke negeri lain

KERAJAAN Terengganu akan mengkaji semula larangan penjualan hasil padinya ke kilang padi negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata. ia bertujuan mewujudkan persaingan yang lebih sihat dalam kalangan pengusaha kilang padi di negeri ini.

Katanya, pada masa ini secara amnya harga belian padi di Terengganu agak rendah berbanding negeri lain.

Katanya, banyak kilang padi di Terengganu membeli padi dengan harga lantai RM1,300 per tan matrik, sedangkan di negeri lain harganya sudah mencecah RM1,800 per tan matrik.

“Kementerian Pertanian hanya menetapkan harga lantai padi RM1,300 per tan matrik tanpa penetapan harga siling.

“Penetapan harga adalah terpulang kepada pihak kilang, asalkan tidak lebih rendah daripada harga lantai,” katanya  dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, selaras dengan kenaikan pelbagai kos mengusahakan sawah yang dipikul oleh pesawah, mereka berhak mendapat harga yang lebih tinggi.

“Peraturan yang melarang penjualan padi ke negeri lain memberikan status quo kepada pengilang padi Terengganu untuk kekal dengan harga yang relatif rendah berbanding negeri lain.

“Kerajaan perlu memberikan ruang yang lebih baik kepada pesawah kita.

“Persaingan sihat perlu dibuka dalam kalangan pengusaha kilang padi untuk mereka menawarkan tawaran terbaik dalam usaha menarik pesawah supaya menjual padi ke kilang mereka,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button