Terbuka Thailand: Liew Daren lakar kejutan atas pemain No. 3 dunia
PEMAIN badminton negara, Liew Daren mencipta kejutan terbesar pada kejohanan badminton Terbuka Thailand di Bangkok setelah menyingkirkan jaguh No. 3 dunia, Anders Antonsen dari Denmark pada pusingan pertama perseorangan lelaki, semalam.
Pemain berusia 33 tahun itu yang menghuni kedudukan ke-41 dalam ranking dunia menundukkan Antonsen menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-18.
Pukulan drop yang berjaya disempurnakan Daren ternyata menjadi senjata untuknya menewaskan Antonsen yang terperangkap dengan taktik tersebut.
Daren yang dipetik kenyataannya menerusi laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkata, dia sama sekali tidak mempraktikkan pukulan tersebut dalam sesi latihannya.
“Saya tidak berlatih untuk pukulan itu, saya cuma bermain seperti biasa. Jika strategi saya itu menjadi, maka ia akan menjadi,” kata Daren ketika ditanya tentang pukulan drop tersebut sewaktu ditemubual selepas perlawanan berakhir.
Kekalahan itu ternyata mengejutkan Antonsen yang baru sahaja menjuarai Terbuka Denmark, Oktober lalu, apabila dia terpaksa akur dengan pemain yang pada awalnya berada dalam senarai simpanan dan bukan sebahagian daripada wakil skuad kebangsaan.
“Saya agak terkejut. Sebelum kejohanan ini, saya sendiri tidak pasti sama ada saya dapat menyertai Terbuka Thailand kerana saya hanya berada dalam senarai simpanan.
“Jadi, apabila disenaraikan pada saat akhir dan berjaya mencipta kemenangan ke atas pilihan ketiga, ia memang satu kejutan besar buat saya.
“Sebelum pertandingan ini, saya tidak banyak berlatih kerana perintah kawalan berkurung. Saya cuma mengekalkan tahap kecergasan saya dengan bersenam di rumah.
“Saya selalu berfikir yang saya mampu bersaing kerana berdasarkan pencapaian lalu, saya kadang kala berupaya bermain dengan baik, jadi saya yakin kepada diri sendiri, tetapi itulah ada kalanya keadaan diri saya tidak begitu bagus,” ujar pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.
Dalam pusingan kedua, Daren yang pernah memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Dunia 2018 akan beraksi menentang wakil Hong Kong, Lee Cheuk Yiu yang mengalahkan Abhinab Manota dari New Zealand 21-13, 21-17.
Sementara itu, rentak kemenangan Daren diteruskan rakan senagara, Lee Zii Jia yang berhempas pulas dalam permainan yang diheret sehingga ke set penentuan sebelum meraih kejayaan ke atas pencabar dari India, H.S. Prannoy 13-21, 21-14, 21-18 dalam aksi yang mengambil masa hampir sejam.
Pemain No. 8 dunia itu dijadualkan berdepan dengan seorang lagi pemain India yang menghuni ranking ke-14 dunia, Srikanth Kidambi dalam perlawanan peringkat 16 terbaik, hari ini.
Bagaimanapun cabaran Malaysia dalam saingan perseorangan wanita berakhir apabila kedua-dua wakil negara, Soniia Cheah dan S. Kisona tersingkir kepada lawan masing-masing.
Sonia tewas 15-21, 12-21 kepada pemain No. 9 dunia, An Se-young dari Korea Selatan dalam masa 38 minit manakala Kisona tunduk kepada bekas pemain No. 1 dunia, Saina Nehwal 15-21, 15-21. – SM