Terap sikap menjaga alam sekitar di dalam keluarga – Raja Muda Perlis
Kebersihan itu bermula dari rumah dan masyarakat perlu membimbing anak-anak bahkan keluarga untuk tidak membuang sampah sesuka hati, menerapkan amalan hijau yang bukan sahaja mengurangkan pencemaran malah mengurangkan kos seperti menjimatkan penggunaan tenaga secara optima dan pembaziran sumber air.
Bertepatan tema Hari Alam Sekitar Negara (HASN) pada tahun ini iaitu “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama” maka rakyat Perlis adalah diseru supaya bersama-sama mengambil peranan dan memikul tanggungjawab untuk menjadikan “Rakyat Perlis Hidup Bermentaliti Kelas Pertama dan Bersih”.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengambil bahagian dalam ‘Program Jelajah Bermotorsikal Rakan Alam Sekitar (RAS) Sempena Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perlis, Tahun 2020’ sejauh 40km yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Al-Istiqamah, Teluk Jambu, Bintong, Kangar.
Keberangkatan tiba baginda ke program yang disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli kali ke 56 bagi tahun 2020’ bagi menyampaikan sumbangan kepada tiga asnaf terpilih di Kg Santan, Kg Kubang Gajah dan Kg Padang Behor tersebut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis itu disambut oleh Pengarahnya Haji Azman Shah Ismail.
Tuanku Raja Muda turut menitahkan bahawa walaupun program pada kali ini diadakan mengikut SOP semasa, namun ianya tetap berjaya memberi kesedaran kepada semua tentang empat aspek utama dalam penjagaan alam sekitar termasuklah penggunaan bekas atau beg guna semula digalakkan melalui Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna (Single Use Plastics). Ini adalah kerana menurut kajian, 1 beg guna semula boleh menggantikan 125 beg plastik atau 52 beg kertas setahun.
Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik juga diadakan bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman terhadap keperluan melupuskan buangan ini dengan betul dan bahaya kesannya terhadap alam sekitar dan manusia.
Pada masa yang sama, Kempen Penghijauan Bumi dengan memberikan pendedahan tentang amalan mesra alam yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Baginda percaya rakyat Perlis boleh memanfaatkan tanah-tanah mereka dan memperolehi hasil daripadanya, ibarat kata pepatah “berbudi pada tanah pasti ada hasilnya”, serta ‘Program Denai Sungai Kebangsaan’ di mana JAS Perlis telah berkongsi tentang program pengawasan yang dijalankan dan parameter-parameter yang diukur untuk melihat kualiti air di lembangan Sungai Perlis.