Tentera nafi pakai helmet elak air kencing warga asing
ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan tersebar di media sosial yang anggotanya bertugas di bangunan Selangor Mansion, di sini memakai topi keledar untuk mengelakkan air kencing warga asing.
Panglima ATM, Jeneral Affendi Buang berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan untuk anggotanya berbuat demikian.
“Tidak ada perkara sedemikian (anggota tentera memakai helmet elak air kencing warga asing ketika bertugas di bangunan Selangor Mansion).
“Pihak ATM hanya memakai helmet untuk tempat yang diisytiharkan sebagai kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), manakala di tempat lain seperti biasa,” katanya kepada Bernama hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial mendakwa anggota tentera yang berkawal di bangunan Selangor Mansion di bawah PKPD bertopi keledar untuk mengelak air kencing warga asing dari tingkat atas bangunan itu.
Pagi tadi Suara Merdeka telah memetik laporan dari laman berita sebuah akhbar bahawa pasukan keselamatan yang bertugas di unit kediaman yang dikenakan PKPD telah dibaling dengan air kencing.
Tindakan dibawa kerana kononnya mereka tidak berpuas hati dengan pelaksanaan perintah itu.
Setakat ini kawasan kediaman yang dikenakan PKPD di ibu kota ialah bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion di Jalan Masjid India sejak Selasa lalu serta Menara Plaza City One di Jalan Munshi Abdullah bermula 31 Mac lalu.