Luar Negara

Tentera Israel dakwa mereka berjaya kepung Bandar Gaza

TENTERA zionis Israel semalam mendakwa pihaknya berjaya mengepung Bandar Gaza. Briged Ezzedine Al-Qassam, sayap tentera Hamas bagaimanpun memberi amaran kepada Israel bahawa askar pencerobohnya akan pulang “dengan beg hitam.”

Jurucakap Abu Obeida berkata: “Gaza akan menjadi kutukan sejarah bagi Israel.”

Amaran Hamas itu dibuat selepas jurucakap tentera zionis Israel, Daniel Hagari berkata, tentera sudah mengepung Bandar Gaza sepenuhnya selepas beberapa hari memperluaskan operasi darat mereka.

Di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai krisis itu merebak, tentera zionis Israel dan Hizbullah di Lubnan berbalas tembakan selepas roket dijatuhkan di sebuah bandar di bahagian utara Israel.

Ratusan lagi warga asing dan mereka yang memiliki dua kewarganegaraan berjaya melarikan diri dari Gaza yang dilanda perang.

Mereka lari ke Mesir semalam ketika tentera Israel mengebom dan menyerang di darat di wilayah terkepung itu di mana beribu-ribu nyawa terkorban.

Sumber di lintasan Rafah memberitahu AFP, lintasan itu akan dibuka semula hari ini dengan lebih ramai warga asing dan Palestin yang cedera dijangka memasuki Mesir dari Semenanjung Gaza.

Mesir berkata, ia akhirnya merancang untuk membantu memindahkan 7,000 warga asing melalui Rafah.

Kementerian Kesihatan di Kaherah berkata, 21 rakyat Palestin yang cedera dan 344 warga asing termasuk 72 kanak-kanak melalui lintasan sempadan Rafah hanya pada hari kedua ia dibuka untuk orang ramai meninggalkan Gaza dalam hampir empat minggu pertempuran.

Senarai mereka yang diluluskan untuk melintasi pintu sempadan itu menunjukkan ratusan warga Amerika Syarikat (AS) dan 50 warga Belgium bersama-sama dengan sejumlah lebih kecil individu dari pelbagai negara Eropah, Arab, Asia dan Afrika.

“Tiada makanan, tiada air, tiada gas, tiada tempat untuk berlindung,” kata pemegang pasport AS, Salma Shaath, 14, ketika dia bersiap untuk menyeberang lintasan Rafah untuk memasuki Mesir.

“Orang ramai pergi ke hospital untuk tidur. Ramai yang mati syahid. Tiada internet, tiada komunikasi dan elektrik. Rumah kami dibom … jadi kami datang ke sini ke Rafah,” katanya. – SM

BACA Mesir setuju buka sempatan Rafah ke Gaza

BACA Israel lancar semula serangan udara di Semenanjung Gaza

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button