Nasionalpilihan

Tenaga boleh baharu, tenaga solar mampu selamatkan industri perhotelan

Industri perhotelan kini perlu beralih kepada tenaga boleh baharu (RE) atau penggunaan tenaga solar bagi mengatasi krisis tenaga yang dihadapi berikutan kenaikan tarif elektrik bagi pihak industri dan komersial baru-baru ini.

Muhammad Guntor Mansor Tobeng

Pengarah Urusan Gading Kencana Sd. Bhd. satu daripada pengendali ladang solar terbesar di Malaysia, Datuk (Dr.) Ir. Muhammad Guntor Mansor Tobeng berkata, hanya dua kaedah itu dapat menyelamatkan industri perhotelan daripada terus menanggung kerugian.

Menurutnya, hotel bertaraf empat dan lima bintang berjumlah 388 buah antara yang terkesan teruk apabila berdepan peningkatan kos yang sangat tinggi daripada surcharge RM0.20/kwj atau 40 peratus kenaikan akibat pelarasan tarif elektrik.

Jelasnya, hotel berkenaan menggunakan kira-kira 1 juta kilowattjam sebulan berbanding hotel bajet dan hotel bertaraf dua bintang ke bawah berjumlah 4,300 buah menggunakan hanya 20,000 kilowattjam sebulan.

“Pilihan terbaik buat industri perhotelan agar dapat meningkatkan produktiviti ekoran peningkatan tarif elektrik adalah menggunakan tenaga boleh baharu atau memasang panel solar di bumbung hotel.

“Ini adalah penyelesaian paling terbaik untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik kerana dapat menjimatkan penggunaan tenaga itu sehingga 20 peratus dan dalam jangka panjang pihak hotel akan dapat menjana keuntungan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Hotel Industry Meetup (HIM) anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama pengusaha hotel dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor di Hotel Hatten di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah MPC, Zahid Ismail, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia, Shaharuddin M. Saaid dan wakil Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN), Rohizam Md. Yusoff.

Mengulas lanjut Muhammad Guntor berkata, selain itu peranan kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga perlu membantu pihak industri perhotelan dengan menyalurkan Geran Audit Tenaga Bersyarat (EACG).

Menurutnya, melalui geran tersebut ia dapat membantu pihak hotel membuat audit bagi mencari kaedah bagaimana hendak mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

“Jadi saya merayu kerajaan menyediakan geran EACG untuk digunakan bukan sahaja untuk pengusaha hotel bertaraf lima dan empat bintang tetapi juga kepada hotel bertaraf dua bintang ke bawah serta hotel bajet,” ujarnya.

Katanya, maklumbalas yang diterima daripada persatuan dan pengusaha industri perhotelan mengenai kos operasi pengurusan yang semakin meningkat ketika akiviti pelancongan sejak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin rancak.

Beliau mengakui sama ada di Malaysia atau di peringkat global kini berdepan dengan krisis tenaga ekoran kegawatan ekonomi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button