Nasional

Tembakan pernah dihalakan ke Pos kawalan sempadan Malaysia-Thailand bulan lalu

KUMPULAN penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand pernah melepaskan tembakan ke arah pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 12 dan 15 November lalu.

Tetapi ketika itu anggota PGA yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand itu hanya mendengar bunyi tembakan. Dan ia  dihalakan ke arah pos kawalan Tembok Sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis dari sebelah negara jiran itu.

Namun semalam tembakan itu telah mengorbankan seorang anggota PGA dan seorang lagi cedera parah.

Namun, kejadian tembak menembak antara anggota PGA yang mengawal sempadan dengan penyeludup itu merupakan kali pertama berlaku.

“Ini menunjukkan kumpulan penyeludup semakin agresif dan berani menyerang anggota PGA yang sedang bertugas di sempadan,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pada sidang akhbar khas di Bukit Aman.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi semalam seorang anggota PGA yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup. Seorang lagi rakan setugas mangsa cedera parah.

Yang terkorban ialah Koperal Baharuddin Ramli, 54, dari suku kaum Semelai. Rakan setugasnya, Koperal Norihan a/l Tari cedera parah dan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Abdul Hamid berkata beliau sudah mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed untuk membantu pasukan forensik JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan IPK Kedah menjalankan siasatan lanjut dalam kes tersebut.

“Saya minta kepada mereka (forensik JSJ IPK Perlis dan IPK Kedah) untuk tidak terlepas apa-apa prosedur operasi standard (SOP) siasatan kes ini sekiranya kes ini dibicarakan kemudian dan berpeluang untuk sabitan tinggi apabila mendakwa suspek di negara ini.

“Selain itu, PDRM akan terus bekerjasama dan berhubung dengan Polis Diraja Thailand untuk mengesan dan menjejak saki-baki penyeludup di sebelah Thailand untuk dibawa ke Malaysia bagi menghadapi proses undang-undang di Malaysia,” katanya yang turut meminta Komander PGA Briged Utara SAC Abdul Ghani Mohamad Ji mengetuai operasi kawalan keselamatan di sempadan negara berhubung kes itu.

Katanya perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Affendi Buang untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan serta kesiapsiagaan di kawasan sempadan antaranya di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Kelantan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button