Teknologi bantu individu tingkat potensi diri
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Akses kepada teknologi yang meluas kini membuka peluang kepada ramai individu yang berminat untuk meningkatkan potensi diri dan menambah kemahiran’.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, mahasiswa dan mahasiswi lepasan universiti juga tidak terkecuali untuk mengambil peluang mendalami ilmu-ilmu kemahiran baru dan ‘trending’ dalam menghadapi dunia pekerjaan yang sememangnya didampingi penggunaan teknologi.
“Jadilah kita insan yang membawa kebaikan kepada orang lain. Semoga ilmu, kemahiran dan pekerjaan yang diperolehi dapat dimanfaatkan untuk membuka ruang ke arah kemajuan dan pembangunan segenap masyarakat”, titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Pemangku Raja ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Pembukaan ‘AI Summer Camp 09-University Tour’ di Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengerusi FCoEE, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Wan Kamal Mujani.
Majlis ini telah dianjurkan oleh Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) Perlis dengan kerjasama Institut Visual Informatik (IVI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Pengerusi FCoEE, program ini dirancang eksklusif buat anak-anak Perlis yang menuntut di universiti seluruh Malaysia dengan objektif utama bagi meningkatkan kemahiran dan kesediaan siswa-siswi selepas tamat pengajian.
“6 modul seperti robotik, pembangunan chatbot dan beberapa modul lain dirancang bagi membolehkan para peserta menguasai elemen kecerdasan buatan seiring dengan keperluan pekerjaan sekarang yang turut dibantu dengan kepakaran pensyarah-pensyarah dari IVI dan UKM” tambah beliau lagi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Penaung DiRaja FCoEE turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian dan menerima persembahan ‘Buku Modul AISC’ dari Kamarudin.
Baginda menyeru agar ikatan kerjasama antara universiti-universiti bersama FCoEE terus kukuh untuk menjayakan inisiatif berimpak ini dan berharap agar semua pihak dapat secara terus menerus meningkatkan lagi mutu hidup dan kualiti mahasiswa yang membawa nama Perlis.