Teguran Raja patut jadi isyarat kepada pemimpin politik
TEGURAN Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sepatutnya menjadi isyarat jelas kepada semua ahli politik mengenai keadaan rakyat sedang menderita dan kehilangan nyawa.
Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha berkata, ahli politik seharusnya berhentik menjadikan Covid-19 sebagai alat politik.
“MBM berharap buat sementara waktu, semua pihak tanpa mengira kiblat politik masing-masing agar berjiwa besar, duduk semeja dan bersatu dalam meraikan usaha yang kita semua percaya iaitu ‘exit door’ kepada penyakit ini adalah suntikan vaksinisasi.
“Dengan kadar vaksinisasi dos kedua masih jauh menjangkau angka 50 peratus ditambah penderitaan rakyat yang dihimpit masalah ekonomi dan membawa kepada kadar kes bunuh diri yang semakin meningkat, MBM menyifatkan ini bukan waktu yang sesuai untuk meneruskan perbalahan politik yang akan terus merungsingkan belia dan rakyat,” katanya.
Sultan Ibrahim sebelum ini menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin politik yang cuba mengganggu gugat Kerajaan dan berebut kuasa.
Baginda menegaskan agar pemimpin perlu jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah, bukannya kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air.
Sementara Tengku Hassanal sebelum ini bertitah sekarang bukan waktu untuk pemimpin politik berebut kuasa dalam keadaan rakyat sedang menderita dengan pandemik Covid-19 yang berpanjangan.
Baginda menyeru agar semua rakyat dan pemimpin mengamalkan sikap saling tolong menolong tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik dalam memastikan nasib rakyat dapat diberikan fokus perhatian paling utama.
“Teguran daripada kedua-dua Baginda seharusnya menjadi isyarat dan mesej jelas kepada semua ahli politik dalam keadaan rakyat sedang menderita dan kehilangan nyawa,” katanya.
Menurutnya, MBM berdiri teguh bersama rakyat yang telah penat dengan situasi semasa.
Pertubuhan belia itu menyatakan tidak menyebelahi mana-mana pihak dan menggesa dengan tegas agar pemimpin politik kasihan kepada rakyat.
Menurutnya, ahli politik perlu memberi tumpuan perhatian penuh kepada pemulihan negara sehingga keadaan reda yang membolehkan pilihan raya diadakan bagi memberikan laluan kepada rakyat memilih Kerajaan yang lebih stabil.-SM