Hiburan

Teater drama Jepun, Rashomon di KLPAC bulan depan

UBAH angin, ubah selera. Apa salahnya. Jika selama ini rakyat Malaysia hanya menyokong persembahan pentas yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, apa kata sekali sekala, kita saksikan pementasan yang diadakan di KLPAC pula.

Tidak salah jika peminat teater memberi tumpuan kepada sebuah pementasan yang bakal diadakan di KLPAC pada bulan depan, Februari. Pementasan atau teater drama yang dimaksukan di sini ialah teater drama Jepun berjudul Rashomon.

Dua pelakon utamanya dari Jepun iaitu Doppo Narita dan Maiya Goshima akan membuat persembahan pada 29 Februari sehingga 8 Mac nanti.

Setakat ini, tiket-tiket telah mula dijual pada harga RM60, RM80 dan RM100 tetapi jika tempahan dibuat sekarang sehingga 31 Januari, diskaun diberikan sehingga 30%.

Teater ini diterbitkan oleh Datuk Dr. Faridah Merican manakala Joe Hasham bertindak sebagai pengarahnya.

Menariknya teater ini, selain daripada dua pelakon utamanya diterbangkan dari negara matahari terbit, berkolaborasi bersama dengan pelakon teater tempatan, ia dipersembahkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Jepun dan Mandarin.

Ini adalah untuk khalayak teater yang inginkan kelainan apabila menyaksikan sesebuah persembahan pentas.

Menurut salah seorang pelakon yang mesra dengan panggilan Cikgu Glamorique, jalan cerita teater Rashomon berkisar tentang seorang samurai yang dibunuh manakala isterinya diperkosa.

“Mayat samurai itu ditemukan oleh seorang tukang kayu dan sebelum kejadian pembunuhan itu berlaku, seorang paderi bertembung dengan pasangan samurai dan isteri.

“Sekumpulan gangster tampil membuat pengakuan, merekalah penjenayah yang membunuh samurai itu dan memperkosa isteri samurai berkenaan.

“Ekoran itu, paderi dan tukang kayu perlu tampil sebagai saksi pendakwaan,” cerita Cikgu Glamorique secara ringkas kepada wartawan SUARA MERDEKA.

Kata Cikgu Glamorique lagi, ketika saksi-saksi memberi keterangan, keterangan mereka bercanggah dan persoalannya, apakah sebenarnya yang berlaku ke atas samurai dan isteri?

Bagi para peminat teater, bolehlah mendapatkan tiket di proticket.com.my atau hubungi KLPAC di talian 03-40479000 . – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button