Nasional

Coronavirus: Kebijaksanaan Wisma Putra dinanti

KOMENTAR

WABAK coronavirus atau 2019-nCoV kini menjadi krisis global.

Kesediaan Malaysia untuk membawa pulang 78 rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan, China dengan segera amat dialu-alukan.

Suara Merdeka yakin pengalaman Kuala Lumpur berdepan isu-isu besar antarangsa sebelum ini akan memudahkan lagi urusan berkenaan.

Antaranya krisis global yang tercetus dari nahas MH370 dan MH17 pada 2014 dan pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong-un di Klia2 pada 13 Februari 2018 , memberi pengalaman berharga kepada pegawai-pegawai Wisma Putra.

Suara Merdeka dimaklumkan dalam kes MH17, kepantasan Kuala Lumpur berunding dengan pemberontak yang sekali gus mempercepatkan mayat-mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan nahas, dikatakan telah mengejutkan dunia.

Begitu juga keputusan diambil menerbangkan pesawat kosong ke Pyongyang untuk membawa keluar kakitangan kedutaan kita di sana, ekoran kes pembunuhan Jong Nam. Difahamkan, tiada syarikat insuran sanggup menjamin penerbangan berkenaan yang dikendalikan juruterbang dan beberapa krew. Ini kerana kemungkinan pesawat menjadi sasaran peluru berpandu daripada pihak-pihak terbabit, adalah tinggi.

Namun, Wisma Putra muktamad. Rakyat Malaysia mesti diselamatkan. Akhirnya semua maklum, penerbangan pergi dan balik yang diiringi doa kepada Yang Maha Berkuasa, berjalan lancar.

Di sinilah kebijaksanaan dan kewibawaan Wisma Putra.

Suara Merdeka lantas teringat dengan keupayaan dan kecekapan menteri-menteri luar kita yang terdahulu dalam mengendalikan urusan antarabangsa.

Dalam menguruskan sesuatu isu antarabangsa, Menteri Luar biasanya akan buat hubungan interpersonal terlebih dahulu.

Nama-nama yang terlintas di kepala, Tan Sri Ghazalie Shafie (King Ghaz), Tan Sri Dr. Rais Yatim, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Anifah Aman.

Mereka ini selalunya berjumpa dahulu menteri sesama menteri dengan minum kopi, teh.

Rais misalnya berbuat demikian dengan Menteri Luar Singapura sebelum ini, George Yeo setiap minggu bila ada perbincangan. Bila sudah buntu, baru mereka pergi ke peringkat tinggi antara Perdana Menteri dengan Perdana Menteri.

Anifah misalnya ada hubungan akrab dengan rakan-rakan seperjuangannya di Eropah dan Amerika. Syarikat sehingga `angkat gagang telefon’ boleh bercakap.

Dalam hal ini, untuk memantapkan lagi keupayaan pegawai-pegawai kita di Wisma Putra, kerajaan harus memantapkan lagu Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Bukit Kiara.

Ya, seperti dulu-dulu nama INTAN harum dalam kalangan media arus perdana – tentang bagaimana menteri harus berkhidmat mengetuai sesuatu kementerian.

Kelihatannya hari ini tampak hal ini tidak dijalankan sekarang.

Semasa Tan Sri Samsudin Osman sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) ada dibuat. Semasa KSN-KSN yang lepas pun ada. Tapi sekarang tiada.

KSN harus adakan kursus bengkel ini sebagai mekanisme mentadbir negara menerusi kementerian. Misalnya ramai menteri tidak faham apa itu tender terbuka, tender terhad, sebut harga? Perkara-perkara asas ini mesti difahami.

Kalau kita ambil tindakan Timbalan Menteri Pendidikan memberi ucapan tahniah kepada Peguam Negara sebab sudah bersetuju meluluskan UEC sebagai syarat peperiksaan undang-undang, ini tak kena sebab anda seorang timbalan menteri (Pendidikan).

Padahal anda tahu dalam kementerian itu sudah ada majlis yang sedang memikirkan cara terbaik untuk UEC tapi anda sendiri beri tahniah kepada Peguam Negara atas persetujuannya untuk iktiraf UEC dalam peperiksaan perundangan.

Dan tentu sekali orang ramai akan dapat teka ada sesuatu dihubungkan antara AG dan timbalan menteri yang membelakangkan menteri.

Lagipun UEC bukan kecil isu. Ia akan mengalihkan dasar pendidikan kepada dua hala, bermakna menggandingkan antara dasar vernakular dengan dasar swasta.

Perkara kedua adalah melatih para duta kita dalam bidang bahasa Inggeris aras tinggi. Kebanyakan pegawai yang saki baki sekarang kurang capaian bahasa Inggeris mereka. Dahulu Malaysia terkenal sebab kebolehan menteri luar kita beretorik, berhujah dan melapor menerusi bahasa Inggeris. Kita dihormati oleh Washington, barangkali trend dihormati ini perlu dikembalikan.

Suara Merdeka maklum ada yang handal-handal tapi perlu ada barisan hebat pemimpin, pemidato, pelapor, communicator dan mereka yang boleh buat rumusan dengan daya fikir tinggi dan diplomasinya.

Apa pun Suara Merdeka doakan urusan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan dipermudahkan. – SM

(Visited 103 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button