Tapir pecah paru-paru, jantung dilanggar
SEEKOR tapir betina mati kerana pecah paru-paru dan jantung akibat di langgar kenderaan.
Bangkai haiwan itu ditemukan di di Jalan Ban Canal – Sekinchan, Sungai Leman, Sekinchan, Sabak Bernam Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, bangkai baiwan itu dijumpai terbaring oleh pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Sabak Bernam di tebing terusan Ban Canal, kira-kira pukul 6 petang.
Tambahnya, Perhilitan ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima aduan dan mengesahkan tapir betina itu mati kira-kira 15 meter dari jalan berkenaan.
“Pemerhatian awal mendapati bangkai haiwan itu berada dalam keadaan baik dan tiada kesan tembakan. Kita tidak menolak kemungkinan tapir berkenaan tersesat dari Hutan Simpan Sungai Karang,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.
Jelas Choon Yung, bangkai haiwan seberat 340 kilogram itu diserahkan kepada pegawai veterinar Perhilitan untuk bedah siasat.
“Proses bedah siasat dijalankan pada keesokkan harinya (Sabtu) bagi mengenal pasti punca kematian sebelum pendarahan dalaman akibat paru-paru dan jantung yang pecah dikesan dipercayai selepas dilanggar kenderaan,” ujarnya.-SM