Politik

Tanpa DAP, wajar Melayu beri lebih markah pada Perikatan Nasional – Rais

SETELAH `apa ditinggalkan’ DAP yang membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh 22 bulan lepas sejak Mei 2018, Tan Sri Dr Rais Yatim mendakwa, beliau “kenal cara bagaimana parti pimpinan Lim Kit Siang itu berjuang”.

Malah Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan itu sendiri terkejut bagaimana Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh berminat dengan DAP sekarang berbanding kebenciannya terhadap parti itu sebelum ini.

“Saya terkejut…saya kawan dengan DAP masa dalam Parti Semangat Melayu 46, saya cuba lihat dari dekat bagaimana mereka berjuang.

“Dan saya tak fikir DAP boleh bagi (kepada orang Melayu). Contohnya yang ditinggalkannya masa 22 bulan itu (Mei 2018 hingga Februari 2020) menjadi persoalan apa dapat mereka bantu masyarakat Melayu dan Islam berbanding kerelaan mereka membantu orang lain.

“Ini kita kena terima sebagai soal berat. Sebab itulah maka (menerusi) Perikatan Nasional (PN), orang Melayu harus (beri) lebih markah tapi ini bergantung kepada setakat mana kita boleh bagi cili, kunyit dan ramuan makanan yang baik untuk orang Melayu. Orang Melayu tak boleh dibiarkan untuk pilih (parti pilihan dalam pilihan raya umum ke-15) begitu sahaja,” dakwa beliau kepada Suara Merdeka baru-baru ini.

Rais berkata, PN sebagai satu gabungan tiga kelompok parti Melayu terdiri daripada Bersatu, UMNO dan Pas sangat dinanti-nantikan oleh semua orang Melayu dan Islam yang mempunyai rasa tulus dan ikhlas terhadap pegangan politik Melayu masa depan.

“Tak pernah berlaku sebelum ini dan saya sendiri mengharapkan supaya ini menjadi realiti.

“Tetapi tak semudah itu nampaknya oleh kerana politik kepartian masing-masing seperti yang dizahirkan oleh beberapa orang pemimpin UMNO tidak dapat menjelaskan ketulusan itu dalam bentuk yang boleh menjamin tenaga sekutu politik Melayu Islam.

“Bagi orang Melayu yang tak mahu ikhlas tentang politik Melayu Islam, saya fikir kemelayuannya itu tergugat. Inilah masa dia, tinggal lagi apa ramuannya ini harus dihalusi dan saya melihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pun puas hati tentang ramuannya dan juga hal-hal berkaitan dengan agihan peranan serta hak masing-masing,” kata beliau.

Dalam hal ini, Rais bagaimanapun tidak menafikan bahawa orang bukan Islam dan bukan Melayu mungkin kurang senang dengan pendekatan PN tersebut.

“Tetapi harus kita berikan jaminan bahawa sekiranya orang Melayu bersatu dan kuat politiknya, orang bukan Melayu pun akan turut mendapat perlindungannya yang lebih menjamin. Yakni menerusi perniagaan yang lebih tegap, telus dan menjamin masa depan, pertahanan negara yang lebih tegap dan menjamin masa depan serta lain-lain yang berkaitan.

“Bagi saya pula khasnya sangat minat sekiranya dengan kuasa tenaga Melayu Islam, budaya Melayu itu dapat diketengahkan dengan lebih mudah lagi berbanding dengan masa-masa lampau.

“Jadi, ini sekali gus harus kita kaitkan dengan perkara 160 Perlembagaan Malaysia yang memberi takrif jelas tentang budaya Melayu dalam bentuk adat dan istiadat selain daripada bahasa Melayu.

“Jadi, dengan adanya PN, idaman dan impian terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa perdagangan akan lebih mudah diperkasakan berbanding dengan zaman Tun Mahathir dahulu dan zaman-zaman terdahulu,” kata Rais.

Tegas beliau: “Bagi saya sangat mustahak kuasa Melayu dan Islam itu diterjemahkan dalam bentuk kesungguhan kita membina semula bahasa Melayu sebab mahu tak mahu mesti kita terima hakikat lahirnya bahasa yang utuh akan mencipta bangsa yang utuh. Tidak ada dalam dunia ini bangsa utuh bila bahasanya tak utuh.

“Tengok China, Perancis dan Rusia, ini tak dapat dipegang Melayu moden. Ini sayangnya jadi dengan PN, saya berharap sangat ini mesti jangan dilupai dan sekali kita dapat, ini kita akan menjelmakan kepada tahap realiti yang tak pernah dicapai sebelum ini.

“Jadi, peluang bagi orang Melayu Islam untuk berkuasa penuh di negara ini, saya kira ini masanya tapi saya harus membuat syarat bahasanya iaitu bukan bermakna kita mengetepikan rakan-rakan bukan Melayu dan saya boleh melihat bahawa peranan MCA dengan MIC misalnya boleh lebih tegap daripada yang dahulu. Itu bab idealnya tapi sebahagian besar saya fikir dari pembangkang termasuk Tun Mahathir mahu PN.

“Kalau beliau tak mahu PN, beliau mahu apa?-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button