Nasional

Tanpa bendera putih, Kedah agih lebih 100,000 bakul makanan

RAKYAT di Kedah tidak perlu kibarkan bendera putih kerana bakul makanan dihantar kepada mereka yang memerlukan.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menerusi hantaran Facebooknya malam tadi berkata, lebih 100,000 bakul makanan kepada rakyat yang memerlukan di negeri itu sejak Mac tahun lalu.

Menurutnya, bakul makanan itu telah diagihkan kepada rakyat di negeri itu yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Muhammad Sanusi berkata, berpuluh ribu lagi baku makanan diagihkan melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Sejak PKP 3.0 dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu sejumlah 48,000 bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk di seluruh negeri Kedah.

“Saya faham maksud menaikkan bendera putih sebagai satu inisiatif yang murni daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin, tetapi bila ia mula dirampas dan dijadikan alat politik oleh pembangkang, untuk menggambarkan kerajaan gagal membantu rakyat yang terputus bekalan makanan, maka ia sudah tidak putih lagi.

“Campur tangan mereka (parti pembangkang) itu sentiasa membawa kecomotan kepada niat yang murni. Sebagai wakil rakyat, bantulah rakyat yang dalam kesusahan mengikut posisi, keupayaan dan kesanggupan masing-masing,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kakitangan agensi kerajaan yang bertugas di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan petugas PKWR, bekerja siang malam membantu tanpa memandang bendera dengan pergi ke setiap lorong dan kampung, membantu rakyat yang memerlukan.

“Kita bina sistem dan mekanisme pengagihan yang terbaik dan selamat untuk semua pihak. Beri nama dan alamat mereka yang memerlukan, petugas PKOB akan hantar dan jika sukar menembusi talian PKOB, beri nama-nama itu kepada wakil rakyat kerajaan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) juga sejak setahun lalu telah menyediakan bank makanan (foodbank) di 578 buah masjid, yang boleh diambil secara percuma oleh mereka yang memerlukan.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button