Politik

Tanduo: Shafie Apdal mohon maaf, sudah beri RM10 juta untuk ‘frontliners’

SATU permohonan maaf dikeluarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal susulan kenyataan pemimpin Parti Warisan Sabah yang didakwa menghina anggota keselamatan negara.

Mohd. Shafie yang juga Presiden parti berkenaan berkata, permohonan maaf itu dibuat khusus kepada anggota keselamaan, ahli keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia.

“Kenyataan beliau yang dikeluarkan secara spontan telah disalah erti dan sama sekali tidak berniat untuk menghina perjuangan para perajurit dan anggota keselamatan kita yang mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan rakyat dan negara ini.

“Sebagai bekas Timbalan Menteri Pertahanan, saya amat memahami keperitan yang terpaksa ditempuh anggota keselamatan ketika menjaga sempadan negara terutama di pos-pos kawalan Sabah yang terpencil dan serba kekurangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Shafie, setiap anggota keselamatan bukan sahaja bersedia mengorbankan nyawa demi keselamatan rakyat, tetapi juga terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga sepanjang tempoh bertugas.

Jelasnya, dia memahami dan menghargai peranan anggota keselamatan kita sebagai ‘frontliners’ menentang musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya.

“Atas rasa tanggungjawab itu saya telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta dana kerajaan negeri untuk diagih-agihkan kepada semua frontliners termasuk RM1 juta kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RM1 juta kepada Kem Lok Kawi.

“Sumbangan ini tidak dilakukan di mana-mana negeri di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, sumbangan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri meskipun agensi keselamatan di bawah bidang kuasa persekutuan.

Semalam, pemimpin Warisan, Datuk Mohamaddin Ketapi yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Segama menjadi tumpuan apabila video ceramanhnya  menjadi viral di media sosial.

“Kamu ingat dahulu PRU dahulu dia bilang Filipina mau ambil Sabah jadi ada peperangan konon di Tanduo datang la jet di Tanduo dibomnya sana kelapa sawit orang. Habis kelapa sawit orang.

“Habis rumah orang ditembak. Ini kenyataan. Habis di Tandou disuruh kereta kebal masuk pergi kampung-kampung suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tidak ada. Ayam sama anjing dia berperang. Apabila habis pilihan raya sudah tidak ada pulak peperangan itu,” kata Mohamaddin dalam video tersebut.

Bagaimanapun Mohamaddin dalam satu kenyataan mendakwa, klip video tersebut tidak disiarkan sepenuhnya untuk mengambarkan maksud sebenar ucapannya.

Mohamaddin berkata, ucapannya semasa berkempen di Kampung Wawasan itu telah disalah ertikan.

“Saya tidak pernah sama sekali memperkecilkan apatah lagi menghina anggota keselamatan kita yang telah berjuang bermati-matian untuk menjaga kedaulatan negara daripada pencerobohan,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button