PARA ibu bapa disaran terus menerus berusaha menanam akhlak Islam yang mulia di dalam diri anak-anak masing-masing supaya lahir sebuah keluarga yang sejahtera.
Apabila lahir keluarga yang sejahtera, maka sudah tentu ia akan berkembang menjadi satu masyarakat yang sejahtera.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM98,000 kepada seramai 140 orang asnaf terpilih.
Ia melibatkan 70 penerima bagi anak kariah Masjid Al-Hidayah, Kampung Titi Beratap.
Manakala 70 lagi penerima anak kariah Masjid Jamek Kampung Binjal.
Kesemuanya menerima RM700 setiap orang pada majlis yang diadakan di Masjid Al-Hidayah, Kampung Titi Beratap, Simpang Empat, Perlis.
Raja Muda juga berharap agar generasi masa hadapan khususnya kanak-kanak lebih terdidik dengan amalan solat berjemaah.
“Budaya solat berjemaah ini insyallah akan membina ukhuwah di dalam masyarakat,” titah Baginda.
Titah Baginda, ini kerana sikap keprihatinan masyarakat Islam sesungguhnya adalah terbina dengan adanya solat berjemaah.
“Oleh itu juga, marilah kita bersama-sama mendidik anak-anak kita masing-masing supaya cintakan masjid,” titah Baginda.
Sempena program tersebut juga diadakan aktiviti pemeriksaan kesihatan bertemakan ‘Perlis Hebat! Rakyat Perlis Hidup Sihat’ kepada para penerima yang hadir dan dijayakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis. – SM