Agama

Taman Desa Asnaf jadi pusat latihan, kemahiran

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Akademi Transformasi Asnaf (ATAM) di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Taman Desa Asnaf (TDA) di Batu Bertangkup, Chuping, telah menjadi pusat pelaksanaan pelbagai program latihan dan kemahiran untuk memperkasakan komuniti asnaf. Usaha ini selaras dengan objektif MAIPs untuk meningkatkan keupayaan ekonomi dan daya saing komuniti asnaf melalui pendekatan strategik yang menyeluruh.

Antara program yang mendapat sambutan ialah Bengkel Canting Batik dan Jahitan di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti Batik Tanah Liat dengan kerjasama Perbadanan Kraftangan Malaysia Negeri Perlis, yang menarik penyertaan seramai 50 peserta. Selain itu, Program Corporate Smart Internship bersama Jabatan Penjara Malaysia melibatkan 12 peserta, memberikan mereka peluang untuk mendalami kemahiran kerja yang bersifat praktikal dan relevan.

Program keusahawanan seperti Kursus Pengurusan Kewangan dan Master Your Business disertai oleh 30 peserta, manakala Kursus Perniagaan Kunci Kejayaan menarik seramai 18 peserta. Dalam bidang teknikal pula, Kursus Baik Pulih Telefon Pintar melibatkan 6 peserta, manakala Bengkel Penyelenggaraan Penghawa Dingin mencatat penyertaan 13 peserta.

Kerjasama dengan Kolej Komuniti Arau dan GIAT Mara turut memberikan impak besar melalui Kursus Jahitan Baju Kurung, Blouse, Skirt, Baju Melayu, dan Kemeja yang disertai oleh 10 peserta, serta Kursus Penyelenggaraan Mesin Jahit yang melibatkan jumlah peserta sama. Latihan pertanian juga mendapat perhatian melalui Kursus Pengendalian dan Cara Tanaman dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan, yang menarik 30 peserta.

Sumbangan sebanyak RM 700 kepada asnaf yang terpilih berdasarkan kariah masing-masing di negeri ini merupakan inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam usaha mengurangkan beban golongan yang kurang bernasib baik ini bagi menampung keperluan harian mereka.

Demikian menurut kenyataan MAIPs, dipersembahkan taklimat kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs selepas Baginda berkenan untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan daripada MAIPs kepada seramai 70 orang penerima daripada kalangan snak kariah Sungai Bugis dan 70 orang penerima lagi dari anak kariah Padang Keria dengan jumlah penuh diagihkan MAIPs pada kali ini sebanyak 98,000 dalam satu program yang berlangsung di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai Kuala Perlis baru-baru ini.

Para asnaf yang terpilih masing-masing menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM 700, pemeriksaan kesihatan secara percuma, ceramah menjauhi najis dadah daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ dari pihak MAIPs.

Dalam pada itu Eksekutif ATAM, Nur Farhana Junaidi, menyatakan bahawa program-program ini merupakan langkah penting dalam membentuk komuniti asnaf yang lebih berdikari dan mampu menjana pendapatan sendiri. “Setiap kursus dirancang dengan teliti untuk memenuhi keperluan semasa asnaf, memberikan mereka peluang untuk meningkatkan kemahiran dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga serta negeri Perlis secara keseluruhan,” ujar beliau.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor menegaskan bahawa Akademi Transformasi Asnaf bukan sekadar memberi bantuan kewangan tetapi turut membuka ruang kepada asnaf untuk membina kehidupan yang lebih baik melalui pelbagai program latihan yang komprehensif.

Dengan keseluruhan penyertaan seramai 179 peserta, program ini membuktikan keberkesanannya sebagai platform transformasi kehidupan. MAIPs berharap lebih banyak pihak dapat menyokong usaha ini demi memperluas impaknya, menjadikan Taman Desa Asnaf sebagai model kejayaan dalam pembangunan komuniti asnaf yang berdaya maju dan mapan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button