Politik

Taklimat presiden untuk malukan perdana menteri?

OLEH SYED NOH ABU BAKAR AL-JUNID

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam memberikan taklimat khas kepada perwakilan parti berkenaan pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak di depan ahli keluarga bekas Perdana Menteri itu.

Walaupun Zahid tidak memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya berundur seperti yang dispekulasi ramai pihak, namun setiap kali nama Ismail Sabri atau menerusi jawatannya disebut, para perwakilan yang hadir dapat didengar memberikan sorakan ‘boo’.

Tahniah kepada Zahid dan mereka yang memberikan sorakan boo tersebut kerana anda telah berjaya menyakinkan majoriti rakyat Malaysia yang pemimpin dan parti anda tak pernah belajar dari kesilapan dan keangkuhan masa lalu.

Marahkan Ismail Sabri kerana kononnya ‘tidak membantu’ kes Najib adalah satu perkara yang cukup memalukan, apatah lagi di saat UMNO sebelum ini berbuih mulut menyanjung keadilan mahkamah bila Datuk Seri Anwar Ibrahim dan siapa sahaja musuh politik mereka dihumbankan ke penjara.

Namun bila pemimpin mereka sendiri didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman, Zahid dan konco-konco kluster mahkamahnya bukan main panas buntut sehingga sanggup mengarahkan ahli-ahli partinya berbondong-bondong ke WTC, menyajikan drama air mata dan sanggup menghina Perdana Menteri yang juga pemimpin utama parti mereka sendiri!
Najib adalah pemimpin yang hebat menguruskan negara, menjadi kebanggaan UMNO dan penyokongnya.

Namun itu bukan tiket untuk kita memaksa mahkamah mengikut telunjuk kita bila beliau terpaksa berhadapan dengan tuduhan-tuduhan tersebut.

Kalau kita pernah menuduh Tun Dr. Mahathir Mohamad seorang mahafiraun kerana kelakuannya termasuk menuduh bekas Perdana Menteri itu mencampuri urusan kehakiman di zaman pemerintahannya, adakah kita mahu Ismail Sabri juga berbuat begitu, dalam erti kata lain adakah kita hendak menjilat kembali ludah di muka sendiri?

Tolong hadamkan betul-betul yang struktur utama di dalam perlembagaan kita iaitu kedaulatan undang–undang menegaskan bahawa hak–hak asasi rakyat tidak boleh dicabuli oleh kerajaan sewenang–wenangnya.

Pembahagian kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta doktrin pengasingan kuasa menegaskan bahawa tidak ada suatu institusi atau badan yang boleh memegang kuasa mutlak.

Kuasa tersebut hendaklah dipecahkan atau diasingkan kepada tiga cabang atau organ kerajaan iaitu Eksekutif (pentadbir), Legislatif atau penggubal undang–undang (Parlimen) dan Kehakiman.

Dalam ertikata lain apabila sesuatu kuasa seperti kuasa mentadbir, menggubal undang–undang, dan menghakimi pertikaian diletakkan ke atas seseorang atau sesuatu sahaja, maka ia akan menggalakkan pemerintahan yang tidak tertakluk pemantauan dan pengimbalan (‘check and balance’).

Ini akan membuka ruang kepada sesuatu kerajaan untuk menyalahgunakan kuasa dan menjadi asas kepada pemerintahan autokratik atau kuku besi.

Oleh yang demikkian, di dalam sebuah negara yang menggamalkan doktrin pengasingan kuasa, kita akan dapati bahawa Parlimen akan menggubal undang–undang bagi membolehkan pihak Eksekutif mentadbir dan sekiranya ada pertikaian dalam segi pentadbiran, pertikaian akan diputuskan oleh badan Kehakiman.

Doktrin pengasingan kuasa akan memastikan kelancaran sesuatu kerajaan dan pada masa yang sama memastikan tidak ada berlakunya penyalahgunaan kuasa.

Tekanan yang tak sudah dibuat ke atas Ismail Sabri untuk campur tangan dalam kes Najib akan memusnahkan prinsip kedaulatan undang-undang yang telah kita pasak dan junjung sejak sekian lama!

Seperti yang dikatakan tadi, andai kata benar Dr. Mahathir pernah melakukannya, adakah Zahid dan UMNO mahu melihat Ismail Sabri juga berbuat demikian demi menyelamatkan buntut mereka? Ini sudah melampau!

Ingat, jangan terlalu yakin UMNO dan BN akan kembali memenangi pilihan raya kali ini. Perangai yakin melampau itulah yang membuatkan mereka tersungkur sebelum ini.

Belum tentu UMNO dan BN menang kalau semua ahlinya menyokong mereka.

Jangan lupa pada pengundi muda, jangan lupa pada mereka yang di atas pagar.

Apa yang berlaku di WTC semalam sebenarnya tidak banyak membantu parti keramat bangsa ini.

Sebaliknya ia LEBIH MEMBANTU rakyat untuk menilai perangai hodoh para pemimpin yang kononnya hendak membela bangsa, sebaliknya hendak membela periuk nasi mereka semata.

Walhasil balik asal. Walasal balik hasil. Walhasil cari fasal. Itu fasal tak hasil.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button