Nasional

Tak sampai lima jam dibuka dah jadi mangsa vandalisme

KUALA LUMPUR – Tidak sampai lima jam dibuka namun sudah ada tanda-tanda taman reakreasi bertaraf dunia di ibu negara, Taman Tasik Titiwangsa bakal menjadi mangsa pengunjung berminda kelas ketiga.

Penolong Pengarah Kanan (Arkitek), Jabatan Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan,  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ar Noor Fazlina Rosley kesal taman riadah yang mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa dan baru sahaja dinaik taraf selepas ditutup sejak 1 September tahun lalu itu telah menjadi mangsa vandalisme.

Ar Noor Fazlina yang juga merangkap Pengurus Projek bagi pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur berkata, antara yang menjadi mangsa vandalisme ialah papan tanda di taman yang menghijau itu telah ditoreh dengan tulisan ‘Awek Pailang’.

Katanya, ada pengguna yang tidak langsung menghargai kebersihan taman tersebut dengan membuang bungkusan makanan dan minuman merata-rata sedangkan tong sampah telah disediakan.

Terdapat juga pengunjung yang menggunakan basikal tidak berlesen dan kemudian menyalahgunakan kemudahan yang disediakan untuk laluan pejalan kaki.

“Sudahlah guna operator basikal tak berlesen, ada percubaan nak naik ke atas pejalan kaki yang berwarna kelabu pula tu.

“Buang sampah merata-rata tapi kenapa ya kalau pergi ke taman-taman di luar negara, kita pandai pula jaga kebersihan?

“Sayangilah kami dan taman-taman kami sebagaimana kami sayangi anda semua,” kata Ar Nor Fazlina.

Taman Tasik Titiwangsa mula buka hari ini dari pukul 6 pagi hingga 10 malam.

Difahamkan majlis perasmian taman ini dijangka akan dilangsungkan pada tahun 2020.

Namun memandangkan ramai yang teruja dan tidak sabar menggunakannya terutamanya ketika waktu cuti sekolah Taman Tasik Titiwangsa telah dibuka lebih awal kepada orang awam.

Kerja penambahbaikan dan pengindahan taman bermula 1 September tahun lalu dan siap sepenuhnya 31 Oktober lalu dengan membabitkan keluasan kira-kira 20.23 hektar.

Terdapat beberapa pembaharuan dilakukan di taman berkenaan yang menjadi tarikan kepada pengunjung seperti Kanopi Banjaran Titiwangsa, Laman Kerawang, Taman Air Kanak-Kanak dan Taman Permainan Kanak-Kanak.

Selain itu, antara tumpuan utama  adalah ‘High Fountain Jet’ di tasik dengan keupayaan pancutan air setinggi 100 meter.

Taman tersebut juga mesra semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang terbatas dari segi fizikal seperti orang kurang upaya (OKU).

Jadi sama-samalah kita menjaga kebersihan dan keindahan taman di tengah-tengah ibu negara ini.

Tegurlah mereka yang membuang sampah merata-rata, menyalahgunakan kemudahan dan mereka yang mahu melakukan kerosakan.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button