Berita

16 ANGGOTA PPH TERKORBAN DALAM KEJADIAN SERANG HENDAP PENGANAS PKM

Pada 17 Jun 1968, kira-kira jam 5.30 petang, konvoi batalion pertama Pasukan Polis Hutan (PPH) yang berpengkalan di Kroh (kini Pengkalan Hulu), Perak telah diserang hendap oleh pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) ketika dalam perjalanan ke Betong, Thailand bagi menjalankan “Ops Sawade Salam”.

Konvoi yang melibatkan empat buah kenderaan polis itu bertujuan memperkuatkan pertahanan di Kem Betong, selepas menerima makluman awal ia bakal menjadi sasaran PKM.

Sebaik pasukan konvoi yang diketuai oleh Inspektor Malik Arshad itu memasuki kawasan sempadan Kroh-Betong, pengganas PKM yang mengetahui pergerakan tersebut melepaskan tembakan bertalu ke arah mereka.

Inspektor Malik dan kesemua anak buahnya segera membalas tembakan dan berjuang habis-habisan walaupun tiada tempat untuk mereka berlindung dari pihak musuh.

Malangnya, serangan yang berlangsung lebih 20 minit itu menyaksikan seorang demi seorang anggota PPH rebah menyembah bumi.

Kedudukan dan strategi pihak musuh yang menyerang dari tiga penjuru bukit sewaktu pasukan konvoi melalui selekoh tajam, menyukarkan lagi pasukan keselamatan untuk mematahkan serangan mereka.

Walaupun terdapat sebuah kenderaan konvoi lain yang dipimpin ASP Tan Hun Tiong berada hanya beberapa meter di hadapan, mereka tidak dapat membantu kerana turut diserang pihak musuh.

Peristiwa berdarah itu menyaksikan 16 anggota PPH terbunuh di tempat kejadian manakala Inspektor Malik dan 16 anggota lainnya mengalami kecederaan parah.

Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan mereka yang terkorban telah diseksa pihak musuh dengan dicungkil mata, dikerat tangan dan dipotong kemaluan.

Serang hendap itu juga menyebabkan kenderaan pasukan rosak teruk dengan kesan tembakan musuh selain kesemua senjata, kelengkapan dan set komunikasi radio turut dirampas.

Ingin ketahui lebih banyak lagi informasi berkaitan sejarah dan artifak PDRM? Ayuh layari dan ‘Like’ FB Muzium Polis Diraja Malaysia!

(Visited 2,195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button